fbpx

UMNO perlu ada figura baharu saingi Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR AZLEEN.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO perlu mempunyai satu figura politik baharu yang boleh menandingi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, antara individu yang boleh diketengahkan adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, Onn Hafiz mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang dan kepimpinan beliau juga telah terbukti diterima masyarakat termasuk golongan akar umbi.

“Onn Hafiz adalah satu contoh kepimpinan baharu dalam UMNO dan beliau sesuai untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selain dijadikan figura yang memberikan mesej positif kepada rakyat Malaysia.

“Kepimpinan melalui tauladan yang ditunjukkan beliau sejak dua tahun lalu, memacu Johor menjadi negeri yang berjaya merekodkan jumlah pelaburan tertinggi pasca pandemik Covid-19, itu satu perkara yang harus dicontohi.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Johor akan turut menjemput Onn Hafiz untuk sama-sama berkempen dalam PRN enam negeri akan datang. Ini kerana beliau adalah satu figura yang boleh menyaingi pihak lawan,” katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini.

Tambah Noor Azleen, seramai lebih 700 Pemuda UMNO Johor akan digerakkan bagi membantu jentera kempen PRN di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan dijalankan serentak pada 12 Ogos ini, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI