fbpx
CHEE KEAT meninjau buah durian yang masih berada di atas pokok di dusunnya di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Rahsia keistimewaan durian Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BULAN Mei sehingga Ogos setiap tahun pastinya menjadi tempoh ‘manis’ buat para penggemar raja buah Pulau Pinang terutama Balik Pulau di daerah Barat Daya negeri jolokan Pulau Mutiara itu.

Tidak dapat dinafikan rasa dan kualiti raja buah dari kawasan itu disifatkan sebagai lain daripada yang lain. Ini sehinggakan ada yang sanggup memandu lebih 360 kilometer jauhnya semata-mata mahu menikmati kelazatan buah bermusim tersebut.

Sebut sahaja durian jenis musang king, hor lor, ang hae, tapak kaki, kucing tidur, duri hitam, udang merah, ganja dan banyak lagi variasi durian klon termasuk durian kampung, kesemua itu boleh didapati di gerai-gerai sepanjang jalan ke Balik Pulau.

Malah, jika hendak merasai pengalaman makan durian di dalam suasana dusun pun tidak menjadi hal kerana banyak pekebun di kawasan tersebut menerima kunjungan orang ramai sebagai pelanggan.

Menurut salah seorang pemilik ladang durian di Balik Pulau, Tan Chee Keat, 32, faktor kedudukan Pulau Pinang itu memainkan peranan.

Jelasnya, faktor kedudukan pulau di negeri ini yang dikelilingi laut dan ekosistem alam mampu menghasilkan buah durian lebih berkualiti, padu dan enak dimakan.

“Kedudukan Pulau Pinang pada bahagian pulau yang dikelilingi laut mampu mempengaruhi rasa buah durian itu sendiri termasuklah menjadikan isi durian masak sepenuhnya.

“Tidak dinafikan bahawa angin laut juga dilihat sebagai baja semula jadi yang mampu menghasilkan rasa isi durian lebih sedap, padu dan berkualiti,” katanya kepada Panorama ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Durian dan Agrofest Pulau Pinang 2023, dekat Kubang Semang.

Dia yang juga merupakan pemenang Durian Terbaik Kategori Klon D163 (Hor Lor) menerusi Pertandingan Durian Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 berkata, faktor unik tersebut itu mampu membezakan durian Pulau Pinang berbanding durian dari negeri lain dalam pasaran.

“Hal ini memang terbukti di mana saya mengambil contoh rasa durian udang merah dari negeri lain agak manis berbanding durian udang merah dari Balik Pulau yang lebih kepada manis-manis pahit,” katanya yang berasal daripada keluarga tiga generasi pengusaha durian.

Beritahunya lagi, ramai pelanggan dari seluruh pelosok negara berkunjung ke dusun durian miliknya dan keluarga di Balik Pulau bagi merasai sendiri keenakan raja buah tersebut setiap kali menjelangnya musim durian.

“Paling ramai (pelanggan) adalah dari Kuala Lumpur. Durian yang sering menjadi buruan pelanggan pula adalah durian jenis udang merah dan hor lor. Memang popular kali ini.

Hasil durian musang king di Balik Pulau.

“Malah, melalui pengamatan saya durian jenis hor lor ini diminati dalam kalangan warga emas, manakala udang merah, musang king dan duri hitam pula adalah disebabkan trend terkini,” katanya yang memiliki dusun durian di Titi Serong, Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Relau dan juga Sungai Ara yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 68 hektar (170 ekar).

Dia menambah, harga bagi durian jenis hor lor dan udang merah yang dijual di dusunnya adalah sekitar RM25 sekilogram bagi pasaran sekarang, manakala musang king pula berharga RM35 sekilogram dan duri hitam dijual pada harga RM45 sekilogram.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha durian dari Sungai Lembu, Bukit Mertajam N. Nadarajan, 45, pula berkata, keunikan durian Pulau Pinang adalah disebabkan terdapat banyak pokok durian di negeri ini yang berusia puluhan tahun.

“Di Pulau Pinang banyak pokok tua. Kiranya semakin tua pokok durian itu, semakin elok rasa durian. Malah, di kebun saya sendiri pun ada beberapa pokok yang berusia sehingga 100 tahun.

“Mengenai penjagaan pula tidak terlalu rumit, sekadar baja pokok dan air secukupnya. Air pula tak boleh lebih, tak boleh kurang,” kata pengusaha durian seluas 4 hektar itu yang turut memenangi tempat ketiga Durian Kampung Terbaik.

Dalam pada itu, Phang For Fatt, 40, yang juga merupakan pengusaha durian dari Balik Pulau memberitahu, kaedah pemasangan net yang dipraktikkan pada pokok-pokok durian di negeri ini juga mampu memastikan buah durian tidak jatuh ke atas tanah sekali gus mengelakkan buah durian cepat rosak.

“Jika buah jatuh ke tanah, ia akan menyebabkan isi durian di dalam bergegar dan berpisah daripada pangsanya, seterusnya mengakibatkan buah berair.

“Apabila buah jatuh ke tanah, maka akan berlaku fermentasi di mana isi durian akan jadi tidak berlemak serta tidak sedap dimakan. Ia sekaligus menyebabkan durian menjadi tidak berkualiti. Itu yang kita cuba elakkan.

“Walau bagaimanapun, terdapat juga pengusaha durian yang menggunakan kaedah mengikat buah durian pada dahan pokok bagi tujuan yang sama.

“Ini semua bagi memastikan kualiti raja buah itu berada di tahap yang terbaik,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN