fbpx

Hasrat Aira tamat kemarau tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aira Azman (kanan) terpaksa akur muncul naib juara selepas tewas 8-11, 5-11, 1-11 kepada Amina Orfi dari Mesir pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Melbourne, Australia hari ini. - WSF

KUALA LUMPUR – Hasrat pemain skuasy muda negara, Aira Azman untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 22 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 yang berlangsung di Melbourne, Australia tidak tercapai.

Pemain berusia 19 tahun itu akur dengan kehebatan pilihan utama kejohanan dari Mesir, Amina Orfi yang merupakan juara bertahan apabila tewas 8-11, 5-11, 1-11 pada perlawanan akhir hari ini.

Walaupun tidak dapat membawa pulang gelaran juara, namun pemain berusia 19 tahun itu tetap gembira apabila dapat menampilkan aksi jauh lebih baik berbanding penampilan pada edisi tahun lalu.

“Perlawanan hari ini sangat sukar. Amina menampilkan permainan yang sangat baik hari ini, jadi sedikit kecewa tetapi saya berharap corak permainan akan bertambah baik selepas ini.

“Saya dapat rasakan peningkatan berbanding tahun lalu. Walaupun tidak meraih gelaran, namun saya gembira kerana mara ke final memandangkan kali terakhir ia dilakukan Datuk Nicol (David) 22 tahun lalu,” katanya.

Untuk rekod, Nicol merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang pernah meraih gelaran dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan tersebut dan ia dilakukan pada edisi 1999 dan 2001.

Sementara itu, Aira yang juga adik kepada jaguh skuasy negara, Aifa Azman sedia untuk memperbaiki setiap kelemahan sebelum dia membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China September depan.

“Saya gembira dapat mewakili negara pada Sukan Asia nanti. Saya harap dapat tingkatkan kemampuan diri sebelum temasya berlangsung dan melakukan yang terbaik di sana,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI