fbpx

RM6.25 juta barang kes jenayah kontraban dan bitcoin dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD Khalid menggunakan jengkaut bagi melupuskan pelbagai barang rampasan bagi jenayah kontraban dan bitcoin. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini melupuskan pelbagai barangan bernilai RM6.25 juta hasil rampasan jenayah kontraban dan bitcoin bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, barang-barang kes yang dilupuskan termasuk rokok, arak tanpa cukai dan mesin bitcoin melibatkan 37 kertas siasatan yang disiasat.

“Semua barang kes ini dirampas hasil 19 operasi kontraban dan 18 operasi bitcoin yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang membabitkan 38 tangkapan.

“Rampasan itu melibatkan tindakan ke atas 37 kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan / Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang telah selesai perbicaraan dan menerima arahan daripada mahkamah serta Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemusnahan Barang Kes Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan di sini hari ini.

Abd Khalid berkata, pelupusan barang kes yang dijalankan hari ini dapat menjimatkan ruang penyimpanan di stor barang kes.

“Pelupusan barang kes bagi jenayah kontraban adalah 340,003 paket rokok, 1,008 tin arak, 281 botol arak yang dianggarkan berjumlah RM3.75 juta.

“Manakala pelupusan barang kes bitcoin adalah 1,252 buah mesin bitcoin , 12 buah set komputer dan 68 unit modem yang dianggarkan berjumlah RM 2.5 juta,” katanya.

Jelas Abd Khalid, dalam menguatkuasakan undang-undang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPK Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dan memerangi jenayah sindiket habis-habisan khususnya di seluruh negeri ini.

“PDRM akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dan efektif dalam usaha membanteras kegiatan tersebut dan tidak akan bertolak ansur serta tidak berkompromi ke atas aktiviti jenayah ini.

“Tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil termasuk kepada mana-mana pegawai atau anggota yang bersengkokol melindungi aktiviti haram,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis menyeru masyarakat supaya terus prihatin dan sentiasa tampil memberi serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya dapat membantu menghapuskan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang tersebut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI