TIADA perkara lain lagi yang ingin dikejar Datuk Sheila Majid selepas puas merasai kemasyhuran seorang bintang sehingga digelar Ratu Jazz negara.
Jolokan keramat itu sudah cukup membuktikan kredibilitinya selaku penghibur kesayangan ramai.
Bukan sahaja di Malaysia bahkan turut memahat nama sehingga ke negara jiran.
Tidak putus memenuhi undangan, penyanyi yang sudah mencecah usia ke garis 58 tahun itu mengakui tetap meletakkan bekalan rohani di tangga teratas.
Lincah ke sana sini mencari rezeki sambil melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri dan ibu juga bukan alasan untuk ambil mudah hal agama.
Kelas agama
Hakikatnya, Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abd. Majid tetap mencari masa mengisi jiwa dengan menyertai kelas-kelas ilmu bagi memantapkan bekalan rohaninya.
“Sebenarnya masa sekarang saya tak kejar apa-apa kecuali kembali kepada fitrah.
“Apabila umur semakin meningkat, prioriti kita juga berubah kepada perkara lebih penting. Bukanlah nak cakap saya bagus sangat.

“Cuma saya masih dalam fasa belajar memperbaiki diri dengan pergi ke kelas mengaji al-Quran, memperbetulkan tajwid atau tafsir surah.
“Perkara seumpama itu memberi saya semangat. Mungkin pada usia ini keutamaan saya sudah berubah,” katanya ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ikon Muzik negara
Baru sahaja dilantik sebagai Ikon Muzik jenama makanan segera popular, McDonald’s Malaysia, Sheila turut menghiburkan lebih 200 jemputan dengan tujuh seleksi hit pada majlis berkenaan.
Aura penghibur kecil molek yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 sepanjang berkecimpung dalam dunia seni cukup kental apabila mampu mengajak semua lapisan usia dan bangsa berdendang bersama.
Melihat khalayak menghayati setiap seleksi dendangan dalam setiap kemunculan menjadi satu kepuasan buatnya.
“Perasaan menyaksikan penonton terhibur, puas dan bawa pulang kenangan terindah adalah sesuatu yang sukar saya ungkapkan.
“Inilah pengembaraan penuh kemanisan yang saya lalui sepanjang empat dekad berkongsi kecintaan saya terhadap dunia muzik.
“Apabila terdetik rasa lelah atau ingin bersara, minda saya terus terkenang kesetiaan peminat. Itu yang membuatkan segala rasa itu hilang,” ujarnya yang belum pernah meletakkan noktah dalam karier.
Pernah menyuarakan hasrat mengadakan konsert khas sempena ulang tahun empat dekad sebagai penyanyi menjelang tahun depam, Sheila juga tidak pernah putus semangat melayari pengembaraan seninya.
Ditanya mengenai komitmen lain terutama tawaran sebagai juri tetap pertandingan realiti, Sheila alasan tersendiri tentang penolakan dalam segmen sedemikan.
Akui penyanyi yang mempertaruhkan karier sejak 1985 itu, kesibukan menggalas pelbagai tanggungjawab menyukarkannya memenuhi permintaan sebegitu.
Juri tetap lepas bersara
“Kebiasaan program seumpama itu berlangsung selama dua atau tiga bulan selain diadakan pada hujung minggu yang juga waktu saya bekerja memenuhi persembahan.
“Kalau saya lari sekejap buat ‘show’ kena ada orang lain kena ambil alih tugas saya. Itu tak adil untuk seluruh produksi dan peserta, jadi lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.

Isteri kepada pemuzik terkenal, Datuk Acis atau Hashridz Murshim Hassim itu bagaimanapun turut menyatakan kesediaan memikul kepercayaan bergelar juri program nyanyian selepas tidak lagi aktif menyanyi.
Pada masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui jarang menonton televisyen, apatah lagi mengikuti perkembangan pertandingan realiti nyanyian ketika ini.
Bukan tidak sudi menyokong industri, sebaliknya faktor usia membuatkan perhatiannya terarah kepada perkara lain.
“Macam yang saya katakan, peningkatan umur mendorong kepada transformasi dalam kehidupan dan gaya hidup yang kita sendiri tidak sedari.
“Malah anak-anak saya juga sedang membesar dan mereka yang banyak kongsikan perkara baharu serta pelbagai isu semasa,” ulasnya.
Biarpun tidak pernah berada di kerusi juri, ilmu dan pandangannya terhadap industri tetap dikongsikan sama ada menerusi laman sosial mahu pun wawancara dengan media.
“Itu juga satu perkongsian yang diharap dapat memberi manfaat kepada semua,” ulas figura ramah itu menutup bicara.














