fbpx

Objek misteri terdampar di Australia mungkin serpihan angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Analisis mendapati objek ini selamat dan tidak menimbulkan risiko semasa kepada masyarakat. - Agensi Angkasa Lepas Australia

PERTH, AUSTRALIA – Sebuah objek misteri yang ditemui terdampar di pantai barat Australia dan menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai asal usulnya berkemungkinan merupakan serpihan objek angkasa, lapor stesen penyiaran CNN.

Sejak muncul di pantai Green Head yang terletak kira-kira 250 kilometer di utara Perth, silinder tembaga itu telah menarik perhatian penduduk tempatan yang mahu melihat kelibat objek tidak dikenali tersebut.

Pasukan Polis Australia Barat dalam satu kenyataan semalam berkata, objek berkenaan dipercayai serpihan objek angkasa sekali gus menguatkan komen-komen daripada agensi angkasa lepas negara itu yang memberikan hipotesis tersebut.

“Objek itu mungkin dari kenderaan pelancar angkasa dan kami sedang berhubung dengan rakan sejawat global yang mungkin dapat memberikan lebih banyak maklumat,” kata Agensi Angkasa Australia kelmarin.

Meskipun pada awalnya mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati objek itu, polis dalam kemas kini baharu berkata, objek tersebut adalah selamat.

“Analisis oleh Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan serta Pusat Kimia Australia Barat mendapati objek itu selamat dan tidak menimbulkan risiko semasa kepada masyarakat,” kata polis.

Pihak berkuasa itu menambah, ia kini sedang berbincang dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengalihkan objek berkenaan dengan selamat dan dalam masa sama, menyimpulkan penemuan tersebut.

Silinder besar yang lebih tinggi daripada manusia itu kelihatan rosak pada satu bahagian hujung dan dilitupi dengan teritip, menunjukkan ia telah lama berada di lautan sebelum hanyut ke pantai. 

Pelbagai teori menyelubungi penemuan tersebut dengan ada yang turut mengaitkannya dengan serpihan pesawat MH370, namun dakwaan itu ditepis oleh polis. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI