fbpx

Cair cinta online, wanita rugi RM142,080

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Seorang wanita tempatan berusia 40-an rugi RM142,080 selepas menjadi mangsa jerat percintaan sindiket ‘scammer’ yang menyasarkan wanita bujang dan berkerjaya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang bertugas di sebuah institusi pendidikan di negeri ini berkenalan dengan suspek lelaki pada penghujung Mac lalu.

Menurut beliau, suspek berkenaan menghubungi mangsa melalui aplikasi Messenger terlebih dahulu sebelum hubungan antara mereka menjadi semakin erat menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tidak lama selepas bermain cinta, suspek memaklumkan akan datang ke Malaysia bagi membuat urusan tuntutan pampasan kematian bapanya dengan sebuah syarikat di Sarawak. Suspek juga meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk membiayai kos penginapan dan juga bayaran kepada Bank Dunia bagi urusan pengeluaran wang sebanyak USD5.5 juta.

“Mangsa turut dijanjikan akan menerima sejumlah wang lumayan sekiranya dapat memberikan bantuan, tertarik dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi kewangan antara 11 April hingga 12 Jun tahun ini bernilai RM142,080,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata,  kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, sejak 1 Januari hingga 15 Julai lalu, polis Johor telah merekodkan sebanyak 64 kes penipuan melibatkan mangsa yang merupakan warga pendidik dengan kerugian berjumlah RM2.58 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI