fbpx

Cuaca ekstrem bawa bencana dari Timur ke Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki berjoging di sebatang jalan dekat Taman Istana Diraja di Tokyo, 12 Julai lalu. - AFP

WASHINGTON – Berpuluh-puluh juta penduduk Amerika Syarikat (AS) bergelut dengan suhu ekstrem yang berbahaya kelmarin, ketika ramalan gelombang haba di Eropah dan Jepun mencecah suhu tertinggi dalam ancaman terkini pemanasan global.

Gelombang haba dari California ke Texas dijangka memuncak apabila Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran mengenai hujung minggu yang sangat panas dan berbahaya.

Salah sebuah negeri paling teruk dilanda gelombang panas iaitu Arizona, penduduknya menghadapi sinaran matahari yang terik ketika ibu negerinya, Phoenix, mencatatkan suhu melebihi 43 darjah Celsius selama 16 hari berturut-turut.

Sementara itu di Death Valley, yang merupakan salah satu tempat paling panas di Bumi juga diramal mencatatkan suhu tinggi terbaharu semalam iaitu 54 darjah Celsius.

Suhu di kawasan tersebut telah pun mencecah 48 darjah Celsius menjelang tengah hari kelmarin dengan paras terendah semalaman boleh melebihi 38 darjah Celsius.

Sementara itu, jauh di utara, kerajaan Kanada melaporkan bahawa kebakaran hutan telah membakar 10 juta hektar kawasan yang mencapai rekod baharu tahun ini dengan lebih banyak kemusnahan dijangka berlaku apabila musim panas berlarutan.

Di Eropah pula, Itali berdepan ramalan hujung minggu suhu tertinggi dengan Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran merah untuk 16 bandar termasuk Rom, Bologna dan Florence.

Suhu diramal mencecah 40 darjah Celsius di Rom hari ini serta meningkat kepada 43 darjah Celsius pada esok, seterusnya memecahkan rekod 40.5 darjah Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2007.

Kepulauan Sicily dan Sardinia turut diramal mengalami suhu setinggi 48 darjah Celsius, kata Agensi Angkasa Eropah, sekali gus berpotensi mencipta suhu paling panas pernah direkodkan di Eropah.

Dalam pada itu, bulan lalu menjadi kedua paling panas yang dicatatkan dalam rekod di Perancis, demikian menurut agensi cuaca negara itu ketika beberapa kawasan diletakkan di bawah amaran gelombang haba sejak Selasa lepas.

Di Sepanyol, agensi meteorologi kebangsaan memberi amaran kelmarin bahawa gelombang haba pada hari ini hingga Rabu akan membawa suhu melebihi 40 darjah Celsius ke Kepulauan Canary dan wilayah selatan Andalusia.

Sementara itu di benua Asia, bahagian timur Jepun dijangka mencecah 38 hingga 39 darjah Celsius pada semalam dan hari ini.

Namun, di tengah-tengah gelombang haba tersebut, seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta yang ditenggelami air ketika hujan lebat melanda utara negara itu semalam, seminggu selepas tujuh mangsa maut akibat hujan di bahagian barat daya.

Selain itu, hujan monsun tanpa henti dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang di utara India, selepas mengalami cuaca terik.

Paras Sungai Yamuna yang mengalir melalui bandar ibu kota, New Delhi telah mencapai rekod tertinggi sekali gus mengancam kawasan kejiranan rendah di bandar raya yang mempunyai lebih 20 juta penduduk itu.

Korea Selatan pula mengalami kemuncak hujan lebat di tengah-tengah musim panas ketika hujan turun selama empat hari lepas sehingga menyebabkan air di empangan utamanya melimpah.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh setakat petang semalam manakala 10 lagi hilang.

Maghribi pula dijadualkan mengalami suhu melebihi purata hujung minggu lalu dengan paras tertinggi sehingga 47 darjah Celsius diramal melanda beberapa wilayah pada Ogos ini berbanding Julai. Ia mencetuskan kebimbangan terhadap kekurangan air, demikian menurut perkhidmatan meteorologi.

Dalam pada itu, di Iraq, di mana musim panas terik adalah perkara biasa, Sungai Tigris dilaporkan semakin kering dan air surut sehingga ke paras pinggang ketika suhu menghampiri 50 darjah Celsius. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI