fbpx

Anjung Kasih di setiap hospital jika ada keperluan – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tengah) bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Anjung Kasih YKN di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan Anjung Kasih di setiap hospital jika ada keperluan untuk tujuan itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini, terdapat 18 buah kemudahan penginapan itu di seluruh negara dan ia telah dimanfaatkan oleh seramai 89,864 waris pesakit sehingga Mei lalu.

Menurutnya, pembinaan Anjung Kasih terbaharu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pula dijangka siap hujung tahun ini.

“Memang ada perancangan untuk semua hospital (diwujudkan Anjung Kasih) dan memang sesetengah hospital juga memerlukan (kemudahan penginapan itu). Ada juga (Anjung Kasih yang telah dibina) itu kecil dan sempit. Maka, ia perlu diperbesarkan. Itu juga termasuk dalam perancangan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa lewat petang tadi.

Difahamkan, Anjung Kasih YKN di HSJ itu telah mula beroperasi sejak Julai tahun lepas melalui tajaan sebanyak RM1 juta daripada Kumpulan Sunway untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan, kelengkapan perabot serta kemudahan fasiliti lain di situ.

Dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 72 buah katil yang dibahagikan kepada enam bilik keluarga, Anjung Kasih YKN HSJ turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti bilik untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kemudahan penginapan Anjung Kasih itu dapat membantu menjimatkan kos penginapan waris atau keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerajaan dengan purata penjimatan antara RM100 hingga RM150 sehari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI