fbpx

Aaron, Wooi Yik dinobat Olahragawan Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mewakili beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku Olahragawan Kebangsaan dan gimnas negara, Ng Joe Ee dinobat Olahragawati Kebangsaan pada ASN 2022 di Subang Jaya hari ini.

SUBANG JAYA – Sejarah tercipta bagi sukan badminton apabila juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengukir nama pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan sebentar tadi.

Pasangan beregu negara itu layak meraih anugerah tersebut selepas mereka mencipta sejarah muncul selaku pemain dan gandingan pertama negara menjadi juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun Ogos tahun lalu.

Gelaran tersebut sekali gus meletakkan nama Aaron-Wooi Yik berada sebaris dengan barisan legenda beregu lelaki badminton yang pernah diangkat sebagai Olahragawan yang kali terakhir dirangkul Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Beregu lelaki lain yang turut pernah merangkul gelaran berkenaan adalah Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1997.

“Saya rasa anugerah ini memang menjadi motivasi dan membuatkan saya mahu berusaha lebih gigih untuk mengharumkan nama negara. Rasa nak banggakan lagi Malaysia, saya akan lebih rajin untuk buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya mereka yang banyak membantu kami baik Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Badminton Malaysia, terutamanya Presiden, Tan Sri Norza (Zakaria) yang sentiasa memberi sokongan dan bertanya khabar,” kata Aaron yang sedang menggalas misi di Terbuka Korea.

Pada majlis ASN 2022 itu, Aaron-Wooi Yik diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas mengenepikan cabaran empat calon lain termasuk dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan) serta Lim Kok Leong (snuker).

Anugerah yang diperkenalkan sejak 1966 itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, gelaran Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee selepas dia tampil cemerlang merangkul dua pingat emas menerusi disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Atlet berusia 18 tahun itu mengenepikan empat pencabar lain termasuk pemenang empat kali dari sukan terjun, Datuk Pandelela Rinong, Nor Amisha Azrilrizal (muaythai), Nur Ain Syuhada Mohd. Asri (petanque) dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan pula dirangkul skuad hoki lelaki kebangsaan yang memenangi Piala Sultan Azlan Shah serta naib juara Piala Asia manakala Pasukan Wanita Kebangsaan menjadi milik beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah selepas merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Hoki sekali lagi meraih pencapaian cemerlang apabila ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan sementara Beh Lee Wei dari sukan ping pong meraih anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, pemenang pingat emas temasya Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan selepas berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah musim lalu.

Bermula dengan Kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022, diikuti Kejohanan Antarabangsa Bahrain pada Mei, Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa Ireland pada Julai (dua emas), dan Kejohanan Badminton Para Dunia pada November, menjadikan Liek Hou atlet paling layak memenangi kategori tersebut.

Perenang para negara, Carmen Lim yang mencetus impak dengan meraih emas pada Sukan Para ASEAN Solo 2022 dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mengenepikan rakan sepasukan, Brenda Anellia Larry serta Nani Shahiera Zawawi (olahraga). – KOSMO! ONLINE

Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022:

OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN
Aaron Chia & Soh Wooi Yik (Badminton)

OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN
Ng Joe Ee (Gimrama)

OLAHRAGAWAN PARALIMPIK KEBANGSAAN
Cheah Liek Hou (Para Badminton)

OLAHRAGAWATI PARALIMPIK KEBANGSAAN
Carmen Lim (Para Renang)

PASUKAN LELAKI KEBANGSAAN
Pasukan Hoki Lelaki

PASUKAN WANITA KEBANGSAAN
Pearly Tan-M. Thinaah (Badminton)

JURULATIH LELAKI KEBANGSAAN
Arul Selvaraj (Hoki)

JURULATIH WANITA KEBANGSAAN
Beh Lee Wei (Ping Pong)

TOKOH SUKAN KEBANGSAAN
Datuk Wira Mazlan Ahmad

KEPIMPINAN SUKAN
Profesor Datuk Dr. Abdullah Mohammad Said

ANUGERAH KHAS
Desmond David
Ann Marie David
Datuk Fauzi Omar
Ahmad Merican Othman
Soh Wai Ching

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI