PETALING JAYA – Hukum memakai sebarang minyak, tangkal atau azimat adalah haram dan berdosa walaupun digunakan sebagai ikhtiar semata-mata.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam juga diingatkan agar tidak terpedaya dengan penjualan bahan-bahan berunsur syirik yang dijual dalam talian, lebih-lebih lagi yang mendakwa dapat menyelesaikan pelbagai jenis masalah.
“Memakai azimat sama ada tangkal, minyak atau apa bahan sekalipun merupakan sejenis sihir yang dilarang di dalam agama Islam. Perbuatan tersebut juga dikira syrik kerana pemakainya percaya minyak tersebut dapat memberi kesan yang menyalahi takdir Allah SWT.
“Selain itu, pengguna bahan ini berdosa besar, lebih-lebih lagi jika boleh menyebabkan berlakunya perceraian antara pasangan suami isteri, menimbulkan kebencian, menyebabkan perbalahan, membawa mudarat dan sebagainya terhadap orang lain,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, matlamat tidak menghalalkan cara, malah penggunaan bahan-bahan tersebut boleh membawa manusia semakin jauh daripada Allah SWT.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim pula berkata, penjualan minyak pengasih di media sosial bukanlah satu perkara baharu.
“Bagi penjual produk minyak wangi yang tidak berkait sihir, contohnya minyak aura, feromon dan sebagainya, namun mendakwa dapat mempercepat jodoh atau boleh digunakan sebagai pelaris perniagaan, mereka ini dikira berdosa kerana wujudnya unsur penipuan dalam perniagaan.
“Bagaimanapun, sekiranya produk tersebut dengan jelas menggunakan mantera tertentu atau menggunakan bahan-bahan daripada mayat, ini dikira syirik,” jelasnya.














