fbpx

Vida mengaku pernah ‘tunggang’ populariti The Red Warriors

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vida pada sidang akhbar selepas hadir menonton perlawanan Liga Super antara Kelantan FC dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida menegaskan hasratnya untuk membeli Kelantan FC kerana sayangkan pasukan tersebut dan bukan lagi untuk kepentingan perniagaan semata-mata.

Vida mengakui beliau pernah meletakkan The Red Warriors (TRW) semata-mata untuk kepentingan dan strategi perniagaan ketika menjadi penaja utama pasukan Kelantan pada 2016 lalu.

“Kali ini, saya buat betul-betul kerana rasa sayang kepada pasukan dan bukan atas kepentingan atau strategi perniagaan saya semata-mata. Ketika syarikat saya menjadi penaja utama Kelantan dahulu, memang kami menunggang populariti TRW.

“Tetapi kali ini saya sudah mempunyai satu pasukan daripada kalangan profesional untuk menguruskan Kelantan FC dan tidak lagi berseorangan seperti dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super: Kelantan FC melawan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau sudah membuat dua perjumpaan bersama pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkaitan urusan pembelian kelab, tetapi memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai persefahaman dan perbincangan.

Menurutnya, dia tidak mahu terburu-buru dalam perkara tersebut bagi mengelakkan berlaku kejadian yang boleh menyebabkan Kelantan FC berada dalam situasi terumbang-ambing.

“Saya tidak mahu terburu-buru apabila sebelum ini hanya mengurus pasukan dalam tempoh dua tahun. Kali ini tidak boleh dan sekurang-kurangnya kita mesti melihat untuk 10 tahun akan datang.

“Perbincangan dengan Norizam boleh dikatakan mencapai 50-50 daripada aspek klausa untuk pengambilalihan. Bagaimanapun bagi saya nilainya tidak boleh mencecah RM15 juta kerana kos itu tinggi selain pasukan ini memerlukan usaha pemulihan berfasa,” katanya.

Dalam pada itu, Vida dapat merasakan Norizam masih mempunyai rasa sayang kepada Kelantan FC kerana sudah banyak perkara dilaksanakan terhadap pasukan tersebut.

“Selepas dua kali perjumpaan, saya dapat rasa Norizam masih sayangkan Kelantan FC. Beliau sudah banyak melabur dan saya pula tidak mahu tanggung banyak hutang kerana untuk meneruskan juga memerlukan kos yang besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI