fbpx

Kedah dahagakan tiga mata penuh di Darul Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAFUZI mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang remeh ancaman Kelantan United susulan kehadiran ketua jurulatih serta beberapa import baharu yang menambah sengat pasukan itu. – KDA FC

ALOR SETAR – Meskipun meletakkan sasaran meraih tiga mata penuh di laman sendiri malam esok, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain tetap mahukan anak-anak buahnya berwaspada dengan ancaman Kelantan United yang dilihat kian menampakkan peningkatan kebe­lakangan ini.

Menurut Nafuzi, cabaran Kelantan United tidak boleh dipandang mudah terutamanya dengan kehadiran ketua jurulatih serta beberapa pemain import baharu yang dilihat menambah sengat pasukan dari Pantai Timur itu.

Katanya, ketika ini cabaran mana-mana pasukan tidak boleh dipandang rendah kerana masing-masing dilihat mengambil kesempatan daripada jendela perpindahan kedua bagi mendatangkan pemain baharu yang mampu mengisi kelemahan sedia ada.

“Memandangkan kita sudah mengharungi lebih separuh daripada perlawanan liga, sasaran kami sentiasa sama iaitu mahu mengutip tiga mata penuh dalam setiap perlawanan. Tetapi kami sedar perkara itu bukan mudah dicapai lebih-lebih lagi dengan kemasukan beberapa pemain baharu ke dalam pasukan tertentu berikutan jendela perpindahan kedua baru-baru ini.

“Begitu juga dengan Kelantan United. Melihat kepada aksi mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini, memang saya merasakan yang mereka ada peningkatan dengan kemasukan beberapa pemain baharu.

“Jadi kami sedar bahawa mereka kini merupakan pasukan berbeza berbanding ketika Kedah menang 3-2 ke atas mereka dalam pusingan pertama Liga Super dulu. Bagi saya ini perlawanan berbeza berban­ding sebelumnya tetapi sasaran kami tetap sama iaitu tiga mata penuh bagi bersaing di kedudukan teratas liga,” katanya ketika ditemui ketika mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Suka Menanti semalam.

Nafuzi berkata, keserasian antara pemain sedia ada de­ngan dua pemain import yang baharu menjejakkan kaki ke bumi Darul Aman tampak masih belum berada di tahap terbaik.

“Tetapi itu perkara normal dalam bola sepak. Lagi pun dua pemain import itu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede baru saja beberapa minggu menjalani latihan bersama kami.

“Tentunya mereka memerlukan masa untuk memahami dan membentuk keserasian sepenuhnya bersama rakan sepasukan lain. Saya tidak bimbang tentangnya dan yakin pening­katan dalam aspek itu akan dapat dilihat penyokong tidak lama lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI