fbpx

16 tan sardin dalam tin diimport dari Singapura dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAQIS Johor merampas 16 tan sardin dalam tin yang diimport masuk dari Singapura tanpa permit di BSI, Johor Bahru, Rabu lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor telah merampas sebuah lori yang membawa muatan tin sardin seberat 16 tan bernilai RM83,879.84.

Pengarahnya, Edie Putra Md. Yusof berkata, produk yang diimport masuk dari Singapura itu ditahan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Rabu lalu.

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguatkuasa MAQIS mendapati barangan berkenaan tidak mempunyai permit import.

“Kesemua 16 tan sardin di dalam tin itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Edie Putra, pihaknya telah mengambil kenyataan pemandu lori yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan.

“MAQIS komited menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” jelasnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI