PETALING JAYA – Pengguna di beberapa bandar raya kecewa beras putih import kekal mahal walaupun kerajaan telah mengumumkan penyelarasan penurunan harga runcitnya berkuat kuasa semalam.
Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kelmarin mengumumkan penurunan harga antara RM2 sehingga RM3 bagi kampit beras putih import 10kg.
Perkara itu bagi menangani krisis bekalan beras tempatan dengan jangkaan penurunan harga sehingga RM35 sekampit.
Di Kuala Terengganu, tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit dan pasar raya di bandar raya ini dan Kuala Nerus semalam mendapati harga runcit beras putih import bagi 10 kilogram (kg) kekal tinggi antara RM40.50 dan RM47.90 sekampit.
Seorang suri rumah, Tengku Asiah Tengku Deraman, 49, kesal rata-rata pengusaha kedai runcit dan pasar raya terbabit enggan menurunkan harga beras import dengan alasan bekalan yang sedang dijual merupakan stok lama.
“Pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga beras import itu tepat pada masanya kerana bekalan beras tempatan begitu sukar diperolehi di pasaran sejak beberapa bulan lalu.
“Begitupun saya kecewa ia seakan tidak dipatuhi pada hari pertama pelaksanaannya. Saya harap tindakan penguatkuasaan dapat diambil segera,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Di Perak, tinjauan di sebuah pasar raya mendapati harga beras Jasmine Siam Best 5% 10 kilogram (kg) diturunkan harga sebanyak RM6.91 iaitu RM37.99 berbanding harga asal RM44.90.
Sementara itu, harga beras Cap Rambutan TRW 10kg ialah RM38.99 iaitu penurunan RM5.90 berbanding RM44.89 sebelum ini dan beras Thai King Siam Rice10 kg pula berharga RM36.99 berbanding harga asal RM46.49 iaitu penurunan RM9.50.
Dalam pada itu, di sebuah pasar mini di sini, harga beras Faizah Emas Putih Import 10kg turun RM5.50 iaitu RM37.99 berbanding harga asal RM43.49.
Sementara itu, di Selangor seorang pengguna, Nur Hasnita Damanhuri, 40, berkata, dia rasa syukur apabila penurunan harga beras import dapat menjimatkan perbelanjaan terutama pada bulan Ramadan.
Ujarnya, pada setiap bulan, dia akan membeli dua kampit beras 5 kilogram (kg) untuk kegunaan keluarganya.
“Apapun, saya harap Beras Putih Tempatan segera ada kerana ini dapat menjimatkan kos harian saya sekeluarga. Harap bekalan BPT ada sebelum Aidilfitri,” kata suri rumah itu.
Ujarnya, beras tempatan tetap dinanti berada di pasaran.
















