fbpx

Sarjan, koperal antara 5 polis ditahan reman kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPRM mengiringi anggota polis bagi pemohonan reman di Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Empat anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari, bermula hari ini selepas disyaki menerima dan meminta rasuah daripada seorang lelaki sebanyak RM1,000.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat anggota polis itu yang terdiri daripada koperal berusia 31 tahun serta tiga lagi berpangkat lans koperal berusia antara 26 hingga 33 tahun bertugas di Balai Polis Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.

Sumber itu berkata, mereka telah menahan seorang lelaki di sekitar kawasan parkir kereta Pangsapuri Sungai Bakap, pada 3 Julai lalu, kira-kira pukul 2 pagi.

“Salah seorang daripada mereka telah meminta wang rasuah berjumlah RM1,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan berhubung rekod kesalahan jenayah lampau beliau berkaitan ujian saringan air kencing melibatkan dadah.

“Anggota polis tersebut telah bersetuju untuk menerima wang rasuah ini, semalam. Lanjutan aduan, satu Operasi Perangkap telah dijalankan oleh SPRM Pulau Pinang semalam,” katanya, di sini hari ini.

Sumber itu berkata, keempat-empat suspek ditahan kerana terlibat bersama serta hadir menerima wang perangkap dan berada di lokasi ketika wang perangkap ditemui.

Dalam perkembangan lain, seorang anggota polis berpangkat sarjan berusia 30 tahun turut direman selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah.

Sumber berkata, pada 11 Julai lalu, kira-kira pukul 4.30 petang, seorang orang awam telah berjumpa dengan suspek yang merupakan Pegawai Penyiasat bagi kes melibatkan adik pengadu di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

”Dalam bilik tersebut, suspek telah meminta wang rasuah sebanyak RM2,500 sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing adik kepada pengadu yang sedang disiasat oleh suspek,” katanya.

Tambahnya, suspek telah meminta wang rasuah tersebut diserahkan kepadanya pada 11 Julai lalu.

“Lanjutan aduan tersebut, satu operasi perangkap telah dilaksanakan semalam dan suspek telah ditahan bersama wang perangkap,” katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI