fbpx

Bakar lori lepas berang buah sawit dicuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH lori dibakar di sebuah ladang selepas ditemui dengan buah Kelapa Sawit dipercayai di curi dari sebuah ladang di Jalan Parit 5, Sungai Linau, Simpang Renggam, Kluang, Johor, semalam.

KLUANG – Berang selepas mengetahui buah kelapa sawit di ladang tempat mereka bekerja dicuri, sebuah lori yang penuh dengan muatan dipercayai hasil curi dibakar oleh dua pekerja di Jalan Parit 5, Sungai Linau, Simpang Renggam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, bagaimana pun tindakan dua pekebun berusia 40 dan 50 tahun itu menyebabkan mereka ditahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Katanya, sebelum itu, kejadian kecurian buah kelapa sawit itu disedari berlaku pada pukul 8.30 pagi apabila penyelia ladang masuk ke kawasan ladang dan menemui kesan buah sawit sudah dipotong.

Menurutnya, perkara tersebut kemudian dimaklumkan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 11 pagi.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.

“Menyedari kehadiran pihak polis keempat-empat suspek melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditangkap dan hasil soal siasat keatas suspek pihak polis berjaya menahan baki tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau lagi, semua suspek berusia mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam itu dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.

Ujarnya, semua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 30-an beralamat di Simpang Renggam dan daerah ini dengan tiga daripadanya mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala kerugian dianggarkan RM300 selain lori dan buah sawit dirampas,”katanya.

Menurut Bahrin, pekerja bertindak membakar lori berkenaan kerana marah buah sawit dicuri. Kedua-dua pekebun itu mengakui berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku.

“Semua enam suspek berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 (KK) bagi dua pekebun dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk empat suspek yang disyaki mencuri buah kelapa sawit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI