fbpx

Lebih 5,000 liter minyak diesel dirampas KPDN di Trong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN memeriksa lori yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan di sebuah ladang sawit di Trong, Taiping semalam. - Foto IHSAN KPDN

TAIPING – Sebanyak 5,510 liter cecair dipercayai minyak diesel yang diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah ladang sawit di Trong pada pukul 5 petang di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Taiping.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan cara menggunakan sebuah lori bertutup kanvas membuat pembelian diesel di stesen minyak sekitar Segari dan Manjung secara berulang kali.

“Minyak diesel tersebut kemudian akan disimpan di satu premis tidak berlesen dalam ladang sawit dan dipercayai minyak tersebut akan dijual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menemui anggaran sebanyak 5,510 liter cecair yang disyaki minyak diesel di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, cecair yang disyaki minyak diesel, enam buah square tank, peralatan pam penyedut, televisyen litar tertutup (CCTV) dan sebuah lori telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan
keseluruhan dianggarkan bernilai RM38,389.20.

“Dua orang lelaki tempatan berumur 28 dan 56 tahun yang disyaki pemandu lori dan majikan telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya yang turut memberitahu kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurut beliau, seseorang, selain dari badan korporat tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI