fbpx

Anak wira bola sepak Perlis cemerlang STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADRIENA (tengah) diapit bapanya, Adrien Jurad (kanan) dan ibunya, Mali Krasen ketika ditemui di SMK Putra, di sini hari ini.

KANGAR – Puteri tunggal kepada wira bola sepak Perlis antara 13 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang mencatatkan keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Adriena Duthsanee Adrien Jurad, 20, merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, mencatatkan rekod cemerlang bersama seorang lagi rakannya berbangsa Siam dari sekolah sama, Chanikda Chalakon.

Menurut Adriena yang memasang impian menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) berkata, dia berjaya meraih keputusan A penuh bagi empat mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Melayu.

“Sebaik sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Malaysia Perlis, namun menolak untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam SMK Syed Sirajuddin.

“Saya menolak tawaran universiti itu kerana lebih cenderung meminati bidang undang-undang dan atas sebab itu, saya mengambil STPM bagi mencapai cita-cita menjadi PTD,” katanya ketika ditemui di SMK Putra, di sini hari ini.

Adriena ialah anak kepada Adrien Jurad Chamrong, pemain bola sepak Perlis yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2004.

Lontaran jauh pemain pertahanan itu dari luar padang gagal ditampan kemas penjaga gawang pasukan Kedah sekaligus mengakhiri penantian 83 tahun Perlis mendakap piala paling berprestij dalam sukan bola sepak negara.

Menurut Adriena, dia sentiasa memegang prinsip dan disiplin tinggi dengan sentiasa mengulang kaji pelajaran pada sebelah malam dan bersedia lebih awal kelas atau mana-mana kuliah bagi memastikan tiada maklumat disampaikan guru terlepas.

“Yang kedua, kita perlu sentiasa berdisiplin mengikut segala arahan yang diberikan guru dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan dalam genggaman kita.

“Menyentuh mengenai pandangan orang ramai mengatakan meneruskan pengajian di tingkatan enam adalah kurang popular namun saya sendiri merasakan sebaliknya selepas melihat peluang ke universiti adalah lebih cerah menerusi platform ini,” jelasnya.

Katanya, walaupun subjek di tingkatan enam agak berbeza berbanding SPM, namun perkara itu tidak menghalang kejayaan seseorang itu kerana kuncinya adalah sifat rajin perlu ada untuk berjaya dalam sesuatu perkara.

Adriena juga merancang menyambung pengajian di peringkat seterusnya di Universiti Utara Malaysia atau Universiti Sains Malaysia dalam bidang undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI