fbpx
Selain menghasilkan pakaian daripada kain batik, Noelle turut gunakan lebihan kain itu untuk membuat aksesori-aksesori.

Praktik pembaziran sifar fabrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MATA Siti Nadhirah Kamaruddin tertarik melihat perkongsian di sebuah media sosial tentang barang-barang berasaskan batik.

Sambil melihat pelbagai produk yang ada, dirinya kemudian ‘terpikat’ dengan satu status tentang lebihan kain batik yang dijual sebagai bahan kraf tangan.

Hal itu menarik perhatian Siti Nadhirah, 30, yang merupakan suri rumah dan gemar membuat hasil kraf atau aksesori di masa lapang.

Katanya, status berkenaan menyatakan menjual pelbagai lebihan kain batik dengan aneka motif dan saiz kecil, sesuai untuk kegunaannya.

“Kebanyakan masa saya akan duduk di rumah, jadi jika ada masa lapang saya suka melakukan aktiviti seperti menjahit dan membuat barang-barang kraf untuk simpanan sendiri.

“Melihat status di media sosial tentang lebihan kain itu membuat saya tertarik kerana bahan itu sering digunakan untuk hobi saya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah wanita asal Tanjung Malim, Perak itu, melihat status berkenaan juga telah mencetus pelbagai ilham buat dirinya untuk menghasilkan pelbagai kraf comel atau aksesori.

Penjualan lebihan kain yang disaksikan Siti Nadhirah itu merupakan salah satu usaha pembaziran sifar (zero waste) yang dilaksanakan oleh satu jenama fesyen pakaian, Kanoe.

Menjadikan batik sebagai signatur setiap rekaan, pengasasnya, Noelle Kan sentiasa berdepan dengan lebihan kain daripada produksi pakaiannya.

Kongsinya, sejak awal menubuhkan Kanoe pada 2016, dia sudah memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan setiap inci fabrik agar tidak terjadi pembaziran berlebihan.

“Saya banyak menghasilkan pakaian terutama blaus daripada fabrik batik, namun dalam setiap bidang kain yang digunakan banyak lebihan yang tidak terpakai dan sayang untuk dibuang.

“Oleh itu, saya memanfaatkan lebihan tersebut untuk menjualnya kepada orang-orang yang suka membuat kraf di samping menghasilkan produk aksesori sendiri,” kata graduan sarjana fesyen dari sebuah universiti di Itali itu.

Lebihan-lebihan kain batik turut dijual kepada mereka yang berminat.

Katanya yang meminati dunia fesyen sejak kecil, pelaksanaan pembaziran dan kitar semula lebihan fabrik sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) dalam perniagaannya setiap kali produksi pakaian dilakukan.

Kebanyakan aksesori yang dihasilkan Noelle adalah alas cawan, ikat rambut (scrunchies), beg tote dan lain-lain.

Melaksanakan pembaziran sifar sudah menjadi sebahagain daripada perniagaan Noelle kerana pengaruh daripada keluarganya sejak kecil.

Kongsi gadis asal Johor Bharu itu budaya kitar semula sudah jadi amalan dalam keluarganya, sekali gus sebagai pencetus ilham buatnya melakukan perkara sama dalam perniagaan.

“Secara amnya, dunia fesyen merupakan industri yang menghasilkan banyak bahan buangan terutama fabrik yang menjadi bahan utama dalam produksi produk dan saya tidak mahu menyumbang ke arah itu,

“Oleh yang demikian, saya laksanakan usaha pembaziran sifar dan tidak sangka ramai sukakan aksesori berasaskan batik serta ramai juga yang berminat membeli lebihan kain untuk hobi mereka,” katanya yang bakal membuka butik fizikal di Rex KL, Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Selain jenama Kanoe, sebuah lagi jenama fesyen, Hashadi turut melaksanakan usaha serupa dengan memanfaatkan lebihan kain dan pakaian terpakai sebagai bahan asas pembuatan produk aksesorinya.

Menghasilkan produk kitar semula pertama pada tahun 2020, SOP untuk memanfaatkan fabrik terpakai bermula daripada pemberian pakaian terpakai daripada seorang rakan.

Menurut pereka dan pengusaha jenama Hashadi, Abdul Muhaimin Abdul Hadi, 28, menerusi pakaian terpakai yang diterima daripada rakan kongsi, Harrith Hasmadi, 26, dia mula melakar, memotong, menjahit dan terhasillah beg tote upcycle pertama jenama itu.

“Kami awalnya hanya mencuba nasib kerana pada waktu itu dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, namun tidak disangka beg yang kami hasilkan mendapat banyak permintaan

“Dari situlah kami sedar akan potensi pakaian terpakai atau ‘preloved’ ini boleh dijadikan beg-beg yang menarik untuk dijual secara dalam talian,” kata pemuda asal Sungai Buloh, Selangor itu.

Tambahnya, bermula dengan beg tote, dia dan rakan kongsi bereksperimen dengan kain perca dan pakaian terpakai untuk mencuba suatu yang baharu seperti bekas alat tulis, beg uncang, beg sandang, tas tangan, beg galas, duffle bag serta lain-lain bergantung permintaan pelanggan.

Kongsi graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Lukis Dan Seni Reka Fesyen di UiTM Shah Alam, Selangor itu, meskipun menggunakan lebihan kain dan pakaian terpakai, dia masih menitik berat kualiti setiap penghasilan produk.

Jelasnya, pemilihan tekstur dan jenis kain penting dalam menentukan sesuatu rekaan beg yang dihasilkan.

“Idea untuk setiap beg dipengaruhi oleh perincian yang ada pada fabrik tersebut seperti corak fabrik, poket, butang atau zip dan bermain dengan bahan terpakai banyak memberi inspirasi kepada kami untuk terus mencuba sesuatu yang baharu.

“Setiap fabrik mempunyai kesesuaian yang berbeza untuk rekaan yang dihasilkan, sebagai contoh, fabrik seperti batik dan songket digunakan untuk reka bentuk klasik, manakala fabrik seperti denim, corduroy atau cotton-drill yang lazimnya dari seluar terpakai pula untuk reka bentuk beg yang lebih terkini dan trendy,” ujarnya.

Berkongsi pendapat tentang konsep kitar semula dalam fesyen, Abdul Muhaimin memberitahu perkara ini sudah memberi impak dalam kalangan penggiat industri dan masyarakat.

“Walaupun konsep upcycle di Malaysia sesuatu yang baharu, namun budaya upcycle dalam kalangan masyarakat kita semakin popular sejak beberapa tahun lepas.

“Kita dapat lihat daripada kewujudan banyak thrift-store dan perniagaan dalam talian berkonsepkan upcycle di negara ini memberikan satu indikasi bahawa ini semakin meningkat.

“Masyarakat mula sedar akan kepentingan kitar semula dan ini sedikit sebanyak mencetus perubahan positif dalam menggalakkan lebih banyak jenama-jenama fesyen tempatan untuk ketengahkan konsep ini dalam penghasilan produk mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN