PUTRAJAYA – Rata-rata generasi muda menyifatkan mereka tidak mampu mengawal diri daripada menggunakan aplikasi media sosial dalam kehidupan seharian.
Seorang pengguna media sosial, Abqariyah Abd. Halim, 26, berkata, dia sendiri merasa ketagih apabila sering menghabiskan masa menonton drama Korea di aplikasi media sosial.
Jelasnya, pengaruh drama Korea mendorongnya untuk terus menonton tanpa mengira masa termasuk ketika waktu bekerja.
“Bukan mudah untuk tinggalkan tabiat itu sebab sudah lama terpengaruh dengan drama-drama Korea, sejak dari zaman menggunakan komputer riba hingga telefon pintar,.
“Jadi, saya sifatkan aktiviti melayari sosial media untuk menonton drama Korea seperti ‘dirasuk hantu’ kerana sentiasa ingin menontonnya tanpa mengira masa,” katanya.

Ismail Isahak, 32, pula mengakui menghabiskan masa melayari media sosial sehingga lima jam sehari bagi mengisi masa lapang selain mahu menghilangkan tekanan selepas bekerja.
“Saya memang jarang keluar rumah dan ini sahaja aktiviti yang boleh dilakukan. Memang ada yang mengatakan saya sangat membosankan sebab tidak suka bergaul, tetapi melepak juga tidak mendatangkan faedah jika terlalu lama.
“Apabila melayari media sosial, saya berasa lebih selesa kerana kandungan yang dihasilkan menarik sehingga mampu bertahan untuk menonton untuk tempoh lebih lama,” jelasnya.
Berbeza dengan Muhammad Afif Afnan, 29, dia mengakui sering menghabiskan masa bermain permainan video di telefon pintar bagi tujuan menambah kenalan.
“Selain mencari kenalan baru, permainan video secara online ini juga membolehkan saya menghilangkan rasa bosan lebih-lebih lagi ketika mempunyai masa lapang,” katanya.














