fbpx

Hawa Rizwana puas buat aktiviti lasak, badan calar-balar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAWA tidak kisah mengalami luka-luka dan calar pada anggota badan, malah berasa puas dapat melakukan aktiviti lasak ketika menyertai program terbaharu Astro, Real Men Malaysia: Wira Merah.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Hawa Rizwana tidak kisah badannya calar-balar kerana melakukan aktiviti lasak atas tuntutan kerja sebagai seorang anak seni.

Kata Hawa, 28, ketika di bangku sekolah rendah, dia tidak diberi kesempatan melakukan perkara tersebut kerana dilarang orang tuanya.

“Saya berjiwa lasak sebenarnya. Tapi sewaktu membesar, ibu bapa saya tidak bagi saya buat apa-apa aktiviti lasak termasuk sukan. Mungkin sebab saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

“Jadi dari zaman sekolah hingga universiti, saya cuma diberi keizinan untuk menari sahaja. Jadi bila sudah dewasa dan sudah boleh berdikari, baru saya aktifkan diri dengan melakukan perkara-perkara lasak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bercerita tentang pengalamannya sewaktu menyertai program Real Men Malaysia: Wira Merah, Hawa memberitahu dia mengalami kecederaan pada siku yang terluka sewaktu melakukan salah satu aktiviti lasak.

“Saya lagi suka kalau ada calar-calar sebab perkara itu memberikan saya pengalaman. Selama 22 hari berkampung di Terengganu untuk program Real Men Malaysia: Wira Merah, saya tidak fikir langsung tentang kencantikan diri yang perlu dijaga.

“Saya cuba bersolek nipis, itu pun sebab nak keluar televisyen. Saya rasa teruja dan mahu ‘all out’ sebenarnya,” kata Hawa.

Pada masa sama Hawa atau nama lengkapnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan juga bersyukur apabila tidak menyangka ibu bapanya memberi keizinan untuk dia menyertai program tersebut, walaupun hanya memberitahu tentang penglibatannya pada saat-saat akhir.

“Saya rahsiakan dan tidak beritahu pada ibu bapa bahawa saya dapat sertai Real Men Malaysia: Wira Merah sebab takut mereka tidak benarkan.

“Tapi sebelum beberapa hari saya berangkat ke Terengganu, baru saya bagitahu dan terkejut apabila mereka benarkan. Malah memberi sokongan terhadap saya,” katanya.

Selain Hawa, Real Men Malaysia: Wira Merah yang diadaptasi daripada sebuah program dari Korea turut melibatkan tujuh lagi peserta dalam kalangan selebriti dan pesohor media sosial antaranya, Jasmine Suraya, Wafiy Aan, Mat Redho, Shashic, Eric Lay, Arieff Yong dan Daniel Cheng.

Berbeza dengan versi Korea, Real Men Malaysia:Wira Merah memperlihatkan kesemua peserta menyertai latihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan disiarkan bermula 30 Julai ini, pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI