fbpx

Wanita Thailand bebas tuduhan edar 86.8 gram methamphetamine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Miss Rusneeda (kiri) untuk prosiding keputusan kes dadah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seorang peniaga pakaian warga Thailand menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 86.8 gram, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Miss Rusneeda Beraheng, 41, pada akhir kes pendakwaan.

Roslan dalam penghakimannya memaklumkan bahawa tertuduh juga tidak perlu membela diri selepas keputusan tersebut diputuskan.

Menurutnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kedua iaitu milikan, jagaan, kawalan dan pengetahuan tertuduh terhadap dadah yang dijumpai dibawah kerusi sebuah kereta jenis Proton Persona.

“Elemen ketiga iaitu pengedaran dadah pula secara automatik gagal dibuktikan kerana elemen kedua tidak berjaya dibuktikan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa perlu untuk dipanggil membela diri, “katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Miss Rusneeda didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 86.8 gram methamphetamine.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Kubang Juluk, Rantau Panjang dekat Pasir Mas kira-kira pukul 9 pagi pada 4 September 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan dijalankan, seramai lapan saksi dipanggil pihak pendakwaan yang terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd. Jabar Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI