fbpx
ERNIE ZAKRI

Mencaci maki, itu benda tidak sihat – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERINGKALI dibanding-bandingkan dengan artis lain tidak membuatkan artis bertubuh genit Ernie Zakri gentar untuk melebarkan lagi sayapnya dalam liga tersendiri.

Perbandingan tersebut dicetuskan peminat berikutan persaingan sengit antaranya dengan rakan seperjuangan, Aina Abdul kononnya untuk membuktikan siapa lebih ke hadapan.

Enggan menyentuh mana-mana pihak, penyanyi bersuara gemersik itu mengingatkan agar peminat menyokong artis kesayangan tanpa perlu merendahkan orang lain.

“Awal dulu saya sudah rasa tidak seronok melihat peminat bertelagah sesama sendiri kerana artis kegemaran.

JIKA tidak menjadi penyanyi, Ernie kemungkinan sedang menjadi tenaga pengajar vokal untuk melahirkan individu berbakat.

“Tetapi apabila difikirkan kembali, mungkin tindakan itu disebabkan perasaan ingin selebriti pujaan mereka menang dari segenap segi tak kira dalam apa jua situasi.

“Tidak mengapa berbuat demikian, tetapi kalau sampai ke tahap caci maki saya rasa itu satu benda yang tidak sihat,” katanya dalam nada tenang.

Enggan terlalu mengulas isu tersebut, Ernie segera mengubah topik perbualan mengenai memori kejatuhan kariernya yang masih segar dalam ingatan sebelum membina nama kukuh di persada seni Malaysia.

Guru muzik

“Ketika itu saya masih muda semasa berumur 23 tahun, saya terdetik mahu berhenti melakukan semua ini.

“Meskipun ketika itu saya telah mempunyai album dan banyak lagu dilancarkan, saya mula menyalahkan situasi sekeliling apabila masih tidak dikenali. Sebenarnya pada ketika itu saya tidak percayakan rezeki datang pada masa sesuai,” ujarnya.

Ketika itu juga, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri terdetik ingin meneruskan karier sebagai guru muzik andai sudah benar-benar berputus asa terhadap karier nyanyian.

“Nasib baik saya mendengar cakap ibu yang tidak mahu saya berhenti.

“Mungkin sebagai ibu dia ada firasat yang anaknya boleh jadi terbaik suatu hari nanti. Kalau tidak, saya mahu meneruskan karier sebagai guru muzik sahaja,” kongsinya.

Mula dikenali

Sedar akan doa seorang ibu, isteri kepada penyanyi Syamel itu bangkit walaupun masih enggan mengikuti trend semasa.

“Saya juga tidak sedar zaman itu sudah mula trend nyanyian cover (saduran) dalam YouTube.

“Namun, saya tidak berusaha ke arah pasaran tersebut. Fokus saya pada ketika itu adalah ingin masuk televisyen sahaja,” tutur pelantun lagu Astana itu.

Semangat tidak berputus asa Ernie terbukti pada tahun 2017 dan kini dia kekal relevan lebih-lebih apabila wajahnya menghiasi papan iklan digital, New York Times Square pada Mac lalu.

“Masa itu nama DJ Fuzz sedang meningkat dan saya ambil keputusan berkolaborasi dengannya.

“Bermula dari situ, saya mula dikenali dengan lagu Jangan Marah.

“Seterusnya, nama saya semakin menyerlah apabila memasuki program Duo Star bersama Syamel,” ujar anak saudara kepada penyanyi Ziana Zain itu.

Kontrak eksklusif

Meneruskan perbualan, Ernie teruja berkongsi berita apabila disunting syarikat rakaman ternama, Universal Music Malaysia.

Baginya, sebagai artis dia tidak boleh terlalu selesa untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni.

ERNIE terpaksa bersuara sekiranya peminat bergaduh secara berlebihan untuk mengelak sebarang kejadian teruk berlaku.

“Kerjasama saya bersama Universal Music Malaysia adalah langkah berani untuk mengetengahkan bakat di luar negara.

“Sebagai penyanyi banyak benda yang harus dilalui kerana kita tidak boleh berada dalam takuk yang sama.

“Jadi, menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia merupakan keputusan besar dalam karier solo saya,” ujarnya.

Sebelum menggulung bicara, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkongsi detik awal semasa ditawarkan untuk bersama syarikat rakaman antarabangsa terbabit.

“Saya tidak menjangka dengan tawaran yang diberikan, namun tetap ambil masa agak lama sebelum membuat keputusan.

“Tukar syarikat rakaman umpama berpindah ke rumah baharu sekali gus memerlukan saya mencari keserasian.

“Kebetulan kontrak bersama syarikat lama (Rocketfuel) pun sudah tamat,” tutur Ernie menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN