fbpx

Jepun berdepan sekatan ketat import makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNJUK perasaan melakukan protes bagi menentang rancangan Tokyo di sebatang jalan di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. - AFP

BEIJING – Pihak berkuasa China akan mengetatkan sekatan ke atas beberapa import makanan dari Jepun berhubung rancangan Tokyo untuk melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke lautan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Pentadbiran kastam China menyatakan bahawa pihaknya juga akan melaksanakan ujian radiasi ke atas produk makanan yang diimport dari beberapa bahagian lain negara itu.

“Kastam China akan mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi,” kata agensi tersebut dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) meluluskan rancangan Jepun untuk melepaskan air sisa radioaktif ke lautan selepas menjalankan semakan keselamatan selama dua tahun.

Tambah badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, ia akan memberi impak yang tidak signifikan terhadap alam sekitar.

Pada 2011, tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter telah menyebabkan air Lautan Pasifik membanjiri tiga reaktor loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi dan ia dianggap sebagai bencana nuklear terburuk di dunia selepas Chernobyl di Ukraine.

Agensi berita Reuters melaporkan, air yang bersamaan dengan kira-kira 500 kolam renang bersaiz Olimpik terkumpul di kemudahan nuklear tersebut.

Ruang simpanan untuk air semakin kehabisan tetapi rancangan yang dimulakan oleh kerajaan Jepun dan pengendali kemudahan itu, Tepco untuk melepaskan air ke lautan telah menghadapi kritikan serantau.

Korea Selatan antaranya, turut mengekalkan larangan import makanan laut dari Fukushima dan beberapa wilayah Jepun yang lain, namun menyatakan bahawa pelepasan air yang dicadangkan itu memenuhi piawaian antarabangsa.

Selain itu, agensi perlindungan pengguna Russia Jumaat lalu turut mengumumkan bahawa ia akan mengetatkan pengawasan terhadap import ikan dan produk-produk marin lain dari Jepun di tengah-tengah kebimbangan mengenai langkah tersebut.

Ia turut mengeluarkan garis panduan bagi meningkatkan kawalan kebersihan dan kuarantin bagi mencegah sumber bio air dan makanan keluaran Jepun yang mempunyai kepekatan radionuklid yang tinggi, daripada memasuki Russia, lapor agensi berita Interfax. Ini termasuk ikan, produk berasaskan ikan serta makanan laut.

Buat masa ini, import produk makanan dari negara itu dibenarkan sekiranya ia disertakan dengan pengisytiharan oleh pihak berkuasa Jepun bahawa kepekatan bahan radioaktif adalah lebih rendah daripada undang-undang terpakai.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Jepun berkata, ia sedang mempertimbangkan langkah-langkah yang mungkin diambil sebagai tindak balas kepada sekatan-sekatan yang diumumkan.

Dalam pada itu, beratus-ratus penunjuk perasaan bersemuka dengan ketua IAEA semasa lawatannya ke Korea Selatan Jumaat lalu dalam usaha untuk meredakan kebimbangan mengenai rancangan Jepun itu, lapor akhbar The Guardian.

Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi tiba di Seoul untuk bertemu Menteri Luar Korea Selatan dan pegawai keselamatan nuklear tertinggi negara tersebut dalam lawatan tiga harinya selepas melawat Jepun.

Ketibaannya di lapangan terbang Gimpo disambut dengan bantahan, lapor media tempatan, walaupun kerajaan Korea Selatan mengumumkan bahawa ia menghormati laporan IAEA selain analisisnya sendiri mendapati pelepasan itu tidak akan memberi apa-apa kesan signifikan ke atas perairannya.

Beratus-ratus orang termasuk ahli Gabungan Kesatuan Sekerja Korea turun ke jalan-jalan kelmarin untuk membantah rancangan berkenaan.

“Adalah tidak masuk akal untuk berhujah bahawa pelepasan itu sesuatu yang boleh diterima kerana ia tidak membahayakan manusia. Haiwan juga hidup di lautan,” kata seorang pelajar universiti, Kim Han-bi. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI