fbpx

Dua lelaki bertatu dibunuh, mayat dibuang tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT dua lelaki dijumpai di dalam bungkusan kanvas di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka.

MELAKA – Mayat dua lelaki bertatu dipercayai dibunuh ditemui di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat tersebut telah ditemui oleh seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Katanya, hasil pemeriksaan anggota di lokasi mendapati kedua-dua mayat ditemui dibungkus di dalam kanvas yang diikat menggunakan tali kabel.

“Satu mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dengan berbaju T hitam dan berseluar pendek, manakala di sebelahnya mayat lelaki tidak berpakaian dan hanya berseluar pendek.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-duanya dan kita percaya mereka ini telah dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di tepi jalan dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kedua-dua mayat mempunyai tatu di anggota badan, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan sama ada ia berkait dengan jenayah kongsi gelap.

“Kita percaya kedua-dua lelaki ini telah dibunuh sekitar tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuh badan mereka.

“Kita juga menemui tatu di anggota badan, namun ia telah pudar dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada ia berkaitan dengan kes pembunuhan ini,” ujarnya.

Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI