fbpx

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pulau Pangkor akan diwarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nizar melepaskan salah seekor penyu ke laut di kawasan pantai berhampiran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor semalam.

LUMUT – Kerajaan Negeri Perak akan mewartakan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor di sini sebagai lokasi pemulihan dan pemeliharaan hidupan marin tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pewartaan tapak tersebut adalah bertujuan bagi memastikan tiada pembangunan dapat dilakukan oleh mana-mana pihak di kawasan berkenaan.

“Kita akan pastikan kawasan itu khusus untuk penternakan penyu. Kita akan lihat kawasan tersebut dan wartakannya sebagai tempat pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan berkenaan.

“Jadi orang lain tak boleh bina bangunan di sini. Itulah pendekatan kerajaan untuk pastikan pemuliharaan atau konservasi penyu ini dijalankan secara serius,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor di sini semalam.

Pembinaan pusat konservasi di Perak bernilai RM150,000 di kawasan seluas 7.99 hektar tersebut merupakan satu inisiatif Jabatan Perikanan dalam memulihara dan memelihara hidupa marin berkenaan daripada terancam.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu yang pertama telah dibina pada tahun 1989 di Segari, dengan ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, penetasan dan pengurusan hidupan marin tersebut serta program publisiti.

Pada masa sama, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan Pusat konservasi berkenaan dimasukkan ke dalam senarai wajib lawat sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, populasi penyu di negara ini mencatatkan sebanyak 11,129 ekor berdasarkan jumlah pendaratan yang direkodkan di tujuh buah negeri tahun lalu iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pada tahun sama juga, 977,905 pengeraman dan 681,077 penetasan telur penyu telah direkodkan,” katanya yang turut memberitahu, negeri yang mencatatkan pendaratan tertinggi adalah Terengganu iaitu 9,632, Melaka (969), Pahang (368), Perak (61) dan Pulau Pinang (54).

Tambah beliau, sebanyak empat kes pengutipan telur penyu secara haram berjaya dikesan iaitu tiga di Sabah dan satu di Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI