fbpx

Penyelia syarikat rugi RM217,000 angkara ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Gara-gara bimbang kononnya terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia, seorang penyelia syarikat swasta kerugian RM217,000 selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan tersebut bermula selepas wanita tempatan dari Teluk Intan berusia 38 tahun itu dihubungi lelaki mendakwa dari syarikat penghantaran barang pada 2 petang, 26 Jun lalu.

Katanya, suspek memberitahu terdapat bungkusan kiriman atas nama mangsa di mana setelah imbasan imej dilakukan bungkusan tersebut mengandungi lima keping kad pengenalan, lima keping pasport dan lima kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Mangsa yang menafikan bungkusan itu miliknya telah disambungkan panggilan bagi membuat laporan polis di mana dia telah disoal siasat oleh individu dikenali Sarjan Jasmine.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada lelaki dikenali sebagai Inspektor Wong yang memberitahu terdapat satu waran tangkap atas nama mangsa bagi kes penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, talian telefon juga disambung kepada seorang pegawai tinggi polis yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Koh di mana suspek turut menyoal siasat mangsa.

Katanya, mangsa diarahkan oleh Datuk Koh untuk memasukkan wang simpanannya ke dalam enam akaun bank berbeza bagi tujuan siasatan dan membersihkan namanya.

“Datuk Koh berjanji akan memulangkan wang milik mangsa setelah siasatan selesai dijalankan.

“Mangsa yang terpedaya telah memindahkan semua wang simpanan dan pinjamannya berjumlah RM217,000 bermula 26 hingga 30 Jun lalu ke dalam enam akaun bank yang diberikan suspek.

“Selain itu, mangsa juga diminta melaporkan diri dan pergerakan kepada Datuk Koh melalui aplikasi WhatsApp setiap kali membuat pindahan wang ,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI