GEORGE TOWN – Keghairan untuk melihat kenduri perkahwinan anak meriah dan nampak gah menyebabkan ada segelintir ibu bapa nekad menggunakan wang yang diterima dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk majlis berkenaan.
Bukan itu sahaja, ada juga ibu bapa yang ‘bermurah hati’ membiayai kos membaik pulih rumah baharu anak-anak sehingga mereka kehabisan duit untuk kegunaan peribadi seperti kecemasan dan perubatan.
Seorang bekas operator kilang yang mahu dikenali sebagai Nurin, 59, berkata, jumlah caruman keseluruhan KWSP miliknya yang diterima tahun lalu adalah RM190,000 dan kini jumlah itu semakin susut.
Jelasnya, duit simpanan KWSP itu adalah hasil kerja kerasnya selama lebih 30 tahun dan dia rela menggunakannya demi anak-anak.
“Kalau bukan kami bantu mereka (anak-anak), siapa lagi yang mahu bantu.
“Ketika masih sihat dan ada di dunia, saya mahu lihat anak-anak bahagia dan ada kehidupan sendiri.
“Duit gaji mereka, biarlah mereka simpan untuk urus kehidupan selepas berkahwin. Besar cabaran mereka nanti, kita yang sudah lalui liku-liku hidup sudah rasa susahnya,” katanya.
Ujarnya lagi, amaun sebanyak RM40,000 juga digunakannya untuk membaiki kediaman sendiri dan mengubah suai rumah baharu yang dibeli anaknya tiga tahun lalu.
Seorang bapa kepada anak tunggal yang mahu dikenali sebagai Afiq, 56, memberitahu, dia membelanjakan sebahagian wang caruman KWSP miliknya untuk membeli sebidang tanah di kampung halaman di Kedah selain membelanjakan kos majlis resepsi perkahwinan anak perempuan di sebuah hotel di negeri ini.
“Sekarang ini semua perkara perlukan duit. Selain hutang bank, kami juga perlu selesaikan perkara-perkara utama seperti tunggakan bayaran cukai pintu dan bayaran penyelenggaran rumah,”
ujarnya yang telah membelanjakan hampir RM100,000 dalam tempoh 12 bulan.















