fbpx

Mahkamah: Pemilik kelab kontroversi Crackhouse didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Rizal ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab komedi kontroversi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana membuat dan memulakan hantaran jelik yang menyentuh sensitiviti kaum melalui Facebook.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Rizal, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan bagi keputusan representasi.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Rizal menjalani hukuman penjara empat bulan jika dia gagal membayar denda. OKS membayar denda tersebut.

Mohamad Rizal melakukan perbuatan itu menggunakan nama profil ‘Rizal Van Geyzel pada 4 Julai 2022. Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, di sini, pukul 1.17 tengah hari pada 13 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nurul ‘Ain Abu Bakar memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi ketiga yang difailkan Mohamad Rizal pada 7 Jun lalu.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi dan pihak pendakwaan bersetuju untuk menerima representasi bagi mengaku salah untuk pertuduhan pertama,” katanya.

Nurul ‘Ain berkata, dua lagi pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ yang dihadapi Mohamad Rizal dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration l’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Semasa prosiding, peguam M. Pravin memohon hukuman denda yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah dalam kebimbangan dalam pelajaran.

“OKS mempunyai bapa berusia 74 tahun menghidap penyakit jantung kronik selain perlu menanggung kos rawatan bapanya.

“OKS selepas kejadian ini telah hilang sumber pendapatan utamanya sebagai ‘stand up comedy’ kerana banyak penganjur telah membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.

“OKS kini bercerai dan menjaga tiga anak berusia tiga tahun dan 11 tahun. Dia telah menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu.

Sebelum ini dua lagi individu yang terlibat dengan kontroversi kelab komedi sama iaitu Siti Nuramira Abdullah dan suaminya V. Alexander Navin atau nama Islamnya, Alexander Dzulkarnain Chandra mengaku bersalah.

Siti Nuramira didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pilihan manakala Alexander didenda RM16,000 atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada tahun lalu tular satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya di sebuah kelab komedi sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI