fbpx
Wajah Endang yang memainkan biola selalu tersiar di kaca-kaca televisyen sementelah kebolehannya mengalun instrumen itu telah terbukti dengan pengalaman luas yang dimiliki.

Endang Hyder serius gesek biola sebagai kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA membuat persembahan biola di hadapan tetamu pada satu majlis diraja di Kedah baru-baru ini, wajah Endang Hyder kelihatan serius dan penuh fokus.

Begitu pun, sesekali matanya melirik ke arah kamera yang berada di hadapannya lalu melemparkan senyuman manis, sebelum wajahnya kembali serius untuk fokus pada persembahannya.

Wajah manis pemain biola terkenal itu pastinya sering dilihat di kaca-kaca televisyen atau pada majlis-majlis formal memandangkan Endang sudah lama terlibat dalam industri seni di negara ini sebagai pemain biola.

Berpeluang menemu bual anak kelahiran Malim Nawar, Perak itu, dia membuka bicara tentang minatnya terhadap biola dan kesungguhannya menjadikan sebagai kerjaya.

“Saya mula bermain biola sejak berusia 10 tahun di bawah bimbingan seorang pemain biola yang cukup berbakat besar iaitu mendiang Alfred Wong.

“Individu yang membawa dan memperkenalkan saya kepada biola adalah bapa yang menghantar saya untuk ikuti kelas biola secara percuma kelolaan Taman Budaya Negeri Perak.

“Bermula dari situlah, bapa dan juga Alfred Wong sering memberi peluang dan ruang untuk saya terlibat dalam program-program persembahan dari peringkat sekolah sehinggalah peringkat kebangsaan,” kata pemilik nama penuh Ell Zain Hyder Zainuddin itu.

Tambah wanita berusia 37 tahun itu, biola seterusnya menjadi cinta hatinya hingga dia berjaya menempa nama sebagai pemain biola di dalam dan luar negara.

Malah, Endang pernah menjadi pemain biola bagi konsert Lentera Timur Datuk Seri Siti Nurhaliza di Istana Budaya, persembahan Shanghai Pavilion di Beijing, China pada 2010, Asian Korean Traditional Orchestra (AKTO 2010-2012) di Korea Selatan dan persembahan UNESCO Dinner pada 2010.

ENDANG serius dalam menjadikan permainan biola sebagai
kerjaya.

Malah, baru-baru ini juga, Endang melakar sejarah dan kenangan manis apabila diundang untuk membuat persembahan biola bersempena majlis sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-81 Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Kedah.

Mengenakan baju kurung biru lembut dan berselendang putih polos, gesekan biola Endang yang penuh bertenaga pada hari itu memukau para hadirin. Antara lagu yang dimainkan adalah Tunggu Sekejap dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Ditanya tentang rahsia menjadi seorang pemain biola yang baik, Endang berkata, sebagai seorang pemain biola, cukup sekadar mempunyai minat dan keinginan untuk belajar.

“Bermain biola ini tidaklah memerlukan skil khusus, cukup sekadar minat dan keinginan yang tinggi.

“Selain itu, ia memerlukan latihan konsisten setiap hari, namun tidak perlu lama, sekadar 10 hingga 15 minit sehari sudah memadai,” kata ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata itu.

Sama seperti kerjaya lain, kongsi Endang, bergelar pemain biola juga mempunyai cabarannya yang tersendiri.

“Bagi saya, antara cabaran terbesar sebagai seorang pemain biola ini adalah di sini, sumber rujukan bagi kami adalah agak terhad.

“Selain itu, untuk menyertai pertandingan besar dan berprestij di luar negara, ia memerlukan belanja yang besar dan sumber kewangan bagi pemain biola ini juga terhad menyebabkan kami sukar untuk terlibat dalam festival berprestij,” katanya.

ENDANG (kiri) semasa mengadakan persembahan pada majlis diraja di Istana Anak Bukit, Kedah baru-baru ini.

Malah, Endang juga merupakan antara individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 memandangkan dia tidak langsung dapat membuat persembahan biola.

Sebelum Covid-19 melanda dunia, Endang mengakui mampu hidup selesa apabila mendapat antara 10 hingga 12 undangan persembahan sebulan.

Begitu pun, akibat pandemik, dia hanya mampu membuat persembahan secara online di akaun YouTube miliknya dan berharap boleh menjana pendapatan menerusi tip yang diberikan kepadanya.

Walaupun boleh berbangga dengan pencapaian peribadinya sebagai seorang pemain biola, Endang mengakui bahawa Malaysia masih jauh dalam menyediakan platform terbaik kepada pemuzik dan anak seni tanah air.

Baginya, selagi nilai sebenar anak seni tanah air tidak dilihat, maka selagi itu industri seni Malaysia akan sukar untuk berkembang.

“Nilai anak seni tanah air jika dilihat masih diletakkan pada kecantikan dan jumlah pengikut di media sosial, berbanding bakat yang dimiliki.

“Ini menyebabkan rata-rata pemuzik terpaksa berusaha sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain,” katanya.

Endang juga sebelum ini turut mengendalikan kelas mengajar biola kepada mereka yang berminat, namun buat masa ini, dia terpaksa hentikan seketika kelasnya akibat komitmen lain.

“Buat masa ini saya tidak mampu lagi buka kelas mengajar memandangkan masa yang ada cukup terhad kerana saya seorang diri menguruskan ibu bapa dan juga anak-anak.

“Semoga kelak, saya harap agar berpeluang untuk membuka kembali kelas mengajar biola bagi pelajar-pelajar baharu,” katanya,

ENDANG mempersembah alunan biola bagi lagu popular Seribu Tahun dendangan penyanyi, Imran Ajmain.

Hampir sembilan tahun lalu, Endang berjaya melawan kanser, namun siapa sangka, pada 2021, dia terpaksa menjalani kembali rawatan bagi penyakitnya itu dan mengakui gusar apabila memikirkan tentang anak-anak dan juga kedua-dua orang tuanya.

“Mereka bergantung harap kepada saya dan oleh sebab itu saya perlu kekal sihat dan kuat demi untuk menjaga mereka,” katanya lagi.

Kongsi Endang, memandangkan begitu terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan pandemik Covid-19 yang menyebabkan dia tidak boleh membuat persembahan biola secara langsung, dia terpaksa menjual salah satu biola kesayangannya bagi menampung kehidupan seharian.

Selain biola, Endang juga menjual beberapa barangan lain seperti telefon bimbit, pakaian dan juga komputer miliknya.

Namun, dia cukup bersyukur dikurniakan kenalan yang baik dan sudi membantunya ketika dalam kesusahan.

“Selepas mendapat tahu saya jual telefon bimbit, jiran saya bermurah hati memberikan saya telefon bimbit baharu untuk digunakan,” katanya.

Cerita Endang lagi, biarpun terpaksa berdepan ujian sepanjang kerjayanya, dia juga tidak akan sesekali melupakan kenangan paling manis bersama bapanya ketika kecil.

“Memori paling manis saya sewaktu kecil adalah apabila dibawa untuk makan jagung selepas mengikuti kelas biola.

“Jika saya dibawa makan jagung selepas kelas, itu tandanya bapa saya sudah menerima gaji,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN