MELAKA – Seorang adik menemui ajal dalam keadaan menyayat hati selepas bergelut dengan abangnya selama kira-kira tiga minit sebelum nyawanya melayang dalam kejadian di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu, di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila suspek berusia 14 tahun tiba-tiba membuka kain pelekat di depan pintu rumah dan kemudian berlari ke arah adik lelakinya itu yang berumur 9 tahun sebelum mencekik mangsa.
Kedua-dua beradik itu telah bergelut di atas sofa sehingga terjatuh ke lantai dan suspek menumbuk pipi kanan dan kiri adiknya berkali-kali sehingga mangsa tidak lagi bernyawa dengan kesan kecederaan pada muka, hidung dan leher.
Pembunuhan itu disaksikan sendiri oleh ibu mangsa yang melihat kejadian tersebut melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mereka.
Bapa dua beradik itu memberitahu, sebelum kejadian, suspek yang juga anak sulung daripada empat beradik pernah mencekiknya dan isteri beberapa kali.
Dia telah membawa remaja itu untuk menjalani rawatan kesihatan termasuklah kaedah perubatan Islam selepas anaknya itu trauma akibat dibuli di sebuah sekolah berasrama sehingga mula meracau sejak beberapa bulan lalu.
“Sikapnya mula berubah selepas mendakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Alor Gajah sejak tahun lalu dan perkara ini telah dilaporkan kepada pihak sekolah serta laporan polis dibuat,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujarnya, dalam satu kejadian di rumahnya sebelum ini, anaknya itu seperti naik gila apabila tiba-tiba melaungkan zikir Subhanallah dengan kuat berulang kali dalam keadaan mata terbeliak.
“Kemudian dia terkam dan cekik saya, memang umurnya 14 tahun, tetapi tenaga dia seperti orang dewasa, isteri saya pun ada beritahu pernah dicekik di dapur dan memang susah nak lepas katanya, mujur adik-adiknya datang.
“Kita orang tua, kalau dicekik masih boleh melawan, tetapi budak memang susah, saya tengok CCTV memang dia (mangsa) tak boleh lawan, kejadian berlaku dalam tiga minit,” ujarnya.
Dia memberitahu, suspek mengadu telah dibuli dua rakan senior termasuk dicekik ketika tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but.
Katanya, suspek mendakwa mula dibuli sejak tingkatan satu, namun dipendamkan sehingga ia semakin memburuk pada tahun ini dan kerap menelefon ibunya untuk mengadu.
“Pada awalnya saya ingat itu suasana biasa budak asrama, tetapi apabila ada kesan kecederaan, saya terus laporkan kepada pihak sekolah.
“Bagaimanapun, tiada tindakan sewajarnya diambil terhadap dua pelajar yang membuli dan sejak itu, sikap anak saya berubah, saya biarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu,” katanya.
Mengulas lanjut tragedi menyayat hati itu, lelaki itu berkata, ketika kejadian, dia berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya yang juga seorang jururawat sedang bertugas di hospital.

Katanya, mangsa yang juga anak ketiga terpaksa tinggal berdua bersama abangnya itu di rumah selepas mengalami sakit mata sejak kelmarin, manakala seorang lagi anaknya berusia 12 tahun bersekolah dan bongsu berusia 4 tahun dijaga pengasuh.
“Saya dan isteri sentiasa pantau CCTV dan apabila saya tengok rakaman CCTV mengenai kejadian itu, sungguh sedih dan pilu,” ujarnya.
Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga meluangkan masa bersama adalah pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan sempat membawa anak-anaknya bersiar-siar di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah dan lelaki
itu adalah seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama di Alor Gajah.
“Tragedi itu disedari ibu mangsa yang memantau CCTV melalui telefon apabila mendapati anak sulungnya itu telah mencekik adiknya berusia 9 tahun sehingga tidak sedarkan diri di rumah mereka.
“Dia kemudian meminta jiran untuk melihat keadaan yang berlaku, namun mangsa ketika itu dikatakan sudah tidak bergerak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, jiran yang juga saksi kejadian yang dikenali Ain berkata, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah keluarga tersebut, dia terkejut apabila melihat suspek mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa.
“Abangnya seakan-akan tidak menyedari perbuatannya sehingga saya terpaksa menepis kuat genggaman tangannya daripada leher mangsa.
“Dia memang budak baik, cuma baru-baru ini dia trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa menjalani rawatan oleh keluarganya,” ujarnya.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.














