
Ketika ini, jemaah yang telah selesai melaksanakan rukun Islam kelima diselubungi pelbagai perasaan apabila mereka kini bergelar haji dan hajah. Gelaran itu akan dipanggil oleh kenalan, jiran serta rakan sepejabat sebaik tiba di Malaysia.
Walaupun gelaran itu mudah diungkapkan, tetapi sukar untuk mendapatkannya. Haji menuntut istito’ah iaitu kefahaman mengenai keupayaan kewangan, tenaga, mental dan fizikal.
Sebahagian jemaah haji sudah mula pulang ke Malaysia semalam dan penghantaran pulang secara berperingkat itu melibatkan 49 penerbangan dari Jeddah sehingga 16 Julai depan.
Selaku petugas media Tabung Haji (TH), saya menyaksikan agensi itu sebenarnya sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
Namun, segala perancangan itu kadang kala terselit dengan kejadian di luar bidang kuasa mereka.
Sudah tentu TH tidak mampu untuk menutup mulut pengkritik yang hanya tahu memberi komen itu dan ini tanpa berada dalam kalangan orang yang menguruskan sistem dan berdepan kerenah 31,600 manusia.
Biarlah apa yang berlaku, diharapkan habis setakat ini dan kita buka baharu untuk berdepan dengan operasi masyair musim haji bagi tahun 1445H/2024 pula.
Apa yang menarik perhatian untuk dibincangkan ialah kos mengerjakan haji yang dijangka semakin meningkat saban tahun.
Lihat kepada perbandingan ini. Kos haji pada 2022 ialah RM28,632 sebelum ia meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini. Sebelum itu, pada 2021, kos ke Tanah Suci ditetapkan pada RM25,000.
Secara purata, berlaku peningkatan hampir RM3,000 saban tahun, tetapi perlu diingat ketika itu kedudukan kadar tukaran wang belum jatuh kepada AS$4.66 bagi setiap ringgit seperti apa yang sedang berlaku ketika ini.

Kejatuhan ini sudah tentu membebankan dan membimbangkan pengembara yang berada di luar negara untuk bercuti, kerja dan sebagainya.
Sudahlah tukaran menguncup, pengembara ditekan lagi oleh cukai tertentu yang dikutip tanpa belas ihsan kepada pelancong ketika berbelanja.
Bagi mengelakkan keadaan ini daripada terus menekan kita, kerajaan perlu mengukuhkan semula kedudukan ringgit seperti yang telah kita pertahankan sebelum pandemik melanda.
Kenaikan kos bukan sahaja dirasai jemaah tetapi sudah tentu TH yang perlu mengeluarkan sebahagian besar peruntukan sebagai bantuan kewangan untuk golongan B40 dan M40.
Makanan, penginapan, tenaga kerja dan pengangkutan merupakan antara penyebab kos haji meningkat. Sikap segelintir peniaga yang meletakkan harga sesuka hati pada musim haji mengeruhkan lagi keadaan.
Jadi, kepada bakal jemaah haji, mereka perlu mempunyai keupayaan kewangan untuk berdepan dengan situasi itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’m Mokhtar sebelum ini berkata:
“Ada 69 jemaah haji B40 dan M40 yang tahu bahawa asas kewajipan haji ialah istito’ah telah menolak bantuan yang hendak diberikan.”














