fbpx

APM kenal pasti lokasi panas berisiko banjir, tanah runtuh di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA APM Perak menjalani latihan pusat Cabaran Penyelamat Pantai APM Perak di Pantai Teluk Batik, Lumut hari ini.

LUMUT – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak mengenal pasti 147 lokasi ‘panas’ berisiko banjir serta 50 lokasi berisiko tanah runtuh jika dilanda angin Baratan yang diramal berlaku dalam tempoh lima hari ini.

Pengarah APM Perak, Rohaizat Hadli, berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas di semua 12 daerah di negeri ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam kesan daripada tiupan angin tersebut.

Menurutnya, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia akan berlaku angin Baratan dari 1 hingga 5 Julai ini, risikonya adalah akan berlaku hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa negeri terutama utara Semenanjung termasuk Perak.

“Jadi, APM Perak melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan apa sahaja risiko yang berlaku akan ditangani dengan lebih cepat.

“Antara tindakan dilakukan ialah menyediakan 36 anggota untuk memantau, membuat rondaan, memberikan khidmat nasihat serta membuat laporan sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan, kemalangan dan bencana yang berlaku di lokasi berisiko bencana.

“Selain itu, APM memiliki 314 anggota yang boleh bertugas 24 jam sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri dan meninjau latihan pusat Cabaran Penyelamat Pantai APM Perak di Pantai Teluk Batik, di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan itu juga selaras dengan Operasi APM Menyantuni Aspirasi Kesejahteraan Awam (Op Ramah) yang bermula 25 Mei hingga September ini sempena perubahan cuaca Monsun Barat Daya.

Beliau memaklumkan beberapa lokasi di daerah Kinta dan Hilir Perak adalah antara kawasan sudah dikenal pasti sering berlaku bencana banjir dan banjir kilat yang turut meliputi beberapa kawasan perumahan dan penempatan di tebing sungai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI