KOREA SELATAN sinonim dengan K-drama dan pastinya, cinta tampil sebagai tema utama, namun digarap dalam pelbagai situasi, masa dan watak.
Siapa yang dapat melupakan percintaan romantik pasangan Gil Ra-im (lakonan Ha Ji-won) dan Kim Joo-won (Hyun Bin) dalam drama Secret Garden.
Mesej cinta juga terserlah antara pasangan Han Se-gye (Seo Hyun-jin) dan Seo Do-jae (Lee Min-ki) menerusi drama The Beauty Inside.
Selain drama hebat ini, penampilan pelakon seperti Lee Min-ho, Ji Chang-wook, Gong Yo, Lee Dong-wook, Jang Na-ra, Gianna Jun, Bae Suzy, Park Min-young dan ramai pelakon K-drama lain membuatkan ramai peminat jatuh cinta.
Pengaruh hebat K-drama membuatkan ramai terutamanya gadis dan belia mengimpikan bercinta dengan ‘oppa’ atau ‘eunnie’. Dalam minda mereka tertanam imej pasangan Korea terserlah bahagia dan romantik.
Sementelah, penulis ketawa apabila membaca artikel memaparkan hasil kajian terbaharu yang dilakukan di Poland, mengkategorikan pasangan Korea Selatan sebagai antara paling tidak bahagia di dunia dalam kedudukan 10 tercorot.
Penulis ketawa sekali lagi apabila kajian sama berkata, pasangan Malaysia kedua paling bahagia dalam ranking tersebut.
Siapakah yang bersalah dalam hal ini?
Siapa sangka negara kita yang saban hari dimomokkan dengan berita pasangan suami isteri bercerai-berai angkara penyondol rupanya mempunyai pasangan nombor dua paling bahagia di belakang Hungary.
Siapa juga menyangka di sebalik pandangan stereotaip lelakinya tidak romantik, negara kita memiliki ramai pasangan bahagia
Apakah pula senario kebahagiaan yang dipaparkan dalam K-drama hanya mimpi semata-mata tanpa realiti walaupun sekelumit, hatta satu ‘propaganda’?
Penulis tidak mempunyai jawapan kepada soalan tersebut dan tidak tahu kenapa atau punca pasangan di Korea Selatan dikatakan tidak bahagia.
Bagaimanapun, kaji selidik itu mengajar kita semua bahawa apa yang kita lihat tidak semestinya benar dan tidak melihat sesuatu perkara ‘sekadar di permukaan’ sahaja.
Mungkin juga selepas ini penerbit K-drama boleh tampil dengan tema penyondol dan cinta berantakan. -KOSMO! ONLINE














