fbpx
FOUZIAH GOUS

Rindu tapi sulit – Fouziah Gous

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN pelakon tinggi lampai, Datin Fouziah Gous yang bergelar isteri kepada Datuk Mohd. Zhafran Md. Yusof sejak 10 tahun lalu tampak serba sempurna.

Dikurniakan suami serba memahami, dua permata hati comel selain mempunyai bisnes minuman sarang burung yang semakin berkembang, semua itu mengisi kehidupannya tanpa perlu menjadikan dunia lakonan sebagai fokus.

Pada usia 40 tahun, sepertinya sudah tiada lagi perkara mahu direbutkan. Yang diharapkan tiada lain, selain waktu sempurna untuk menikmati hasil tuaian.

Akui pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd. Gous itu, nikmat kehidupan yang dilalui kini adalah berkat persefahaman suami isteri serta sistem sokongan mereka.

“Tiada kehidupan yang tidak melalui fasa sukar kerana setiap pengembaraan suka atau tidak, kena berdepan ujian.

“Saya bersyukur dikurniakan Zhafran sebagai teman hidup kerana kami saling menyuntik semangat dan menyokong antara satu sama lain.

“Setiap kejayaan kami juga adalah kerana doa serta kerjasama keluarga, pekerja-pekerja dan mereka yang sentiasa ada di sisi kami saat susah senang,” katanya.

Fouziah sangat percaya dengan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat demi kehidupan yang bahagia.

Rindu lakonan

Maju dalam perniagaan, Fouziah juga kelihatan semakin menjauhi dunia glamor, tambahan pula dua permata hatinya sedang membesar.

Jauh di sudut hatinya, wanita yang mesra disapa Pooja itu sebenarnya menahan banyak kerinduan untuk beraksi di depan kamera seperti rakan-rakan seperjuangan yang masih aktif.

Cuma kesibukan menguruskan perniagaan dan anak membuatkan keinginan tersebut terpaksa ditahan.

“Sebelum ini memang ada pelawaan daripada penerbit atau pengarah yang sudah biasa saya bekerja.

“Ada yang terus bertanya sama ada saya memang sudah berhenti berlakon atau tidak, memandangkan lama tidak masuk set.

“Hakikatnya keinginan masih ada tetapi untuk penggambaran tempoh panjang agak sulit,” kongsinya yang kali terakhir muncul sebagai artis undangan dalam program Sepahtu beberapa tahun lalu.

BIARPUN sukses dalam perniagaan dan menguruskan keluarga, Fouziah masih menyimpan kerinduan terhadap dunia lakonan.

Anak keutamaan

Menurut pelakon drama Aku Di Sisimu itu lagi, melihat perkembangan dua puteranya, Muhammad Zeeshan, 8, dan Zaheen Yusof, 6, juga memberi kepuasan dari sudut berbeza.

Biar sibuk dengan urusan pejabat, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu berkerjaya tetap berada di carta teratas.

“Anak-anak kini dalam fasa membesar yang juga semakin bijak bertanya mengenai persekitaran mereka.

“Jadi kualiti masa itu sangat penting terutama perkara yang membabitkan aktiviti sekolah dan di luar kelas.

“Seboleh-bolehnya kami enggan tertinggal dalam momen penting mereka tanpa menjadikan kesibukan sebagai alasan,” tambahnya.

SELAIN perniagaan minuman sarang burung Fouziah dan suami kini membuka sebuah restoran makanan segera yang mempromosikan pemakanan sihat kepada orang ramai.

Amal gaya hidup sihat

Mengakui tidak gentar melalui angka 40-an, dedah Fouziah amalan pemakanan sihat juga menjadi antara faktor mendorong suaminya merealisasikan impian memiliki sebuah restoran makanan segera sihat, Rightside.

“Sebenarnya Rightside sebagai pilihan menarik yang bukan hanya sajian sihat, sebaliknya mampu memenuhi selera ramai kerana rasanya seperti daging atau ayam sebenar.

“Selain semakin selektif dalam soal pemilihan makanan, saya dan suami juga kekal aktif melakukan senaman ringan bagi mengeluarkan peluh,” tambahnya.

Lebih membanggakan Fouziah, pelaburan pembukaan restoran makanan segera sihat tersebut tidak menggunakan pinjaman wang daripada pihak bank atau rakan kongsi dengan mana-mana pihak

Pada masa sama, Fouziah turut meminta rakan artis menyiasat dahulu latar belakang individu yang menawarkan suntikan modal perniagaan bagi mengelak terjebak dalam kegiatan penggubahan wang haram.

Biarpun bisnes mereka berdua tidak menggunakan dana pelabur, pesanan tersebut tetap ingin disampaikan kepada bakal usahawan lain sebagai peringatan.

“Saya tidak pandai berhutang wang individu lain, jadi saya tidak akan mengambil risiko untuk mengambil pelabur yang latar belakangnya pun saya tidak pasti.

“Sebab itu saya sanggup bermula dari bawah. Biarlah orang tak nampak usaha kita tetapi yang pasti saya tahu apa yang saya buat dan dapat membezakan halal dan haram,” katanya menutup bicara.

FOUZIAH bersama suami dan anak-anak yang kini menjadi keutamaannya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN