fbpx

Operasi waktu puncak fokus didik pengguna patuh peraturan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily pada sidang akhbar selepas mengetuai Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan operasi pada waktu puncak bertujuan ingin mendidik pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang tersedia dan bukanlah untuk mengganggu pergerakan mereka ke tempat kerja atau sebagainya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya memulakan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur ini selama sebulan bermula Sabtu lalu sehingga 31 Julai nanti.

Jelasnya, operasi yang julung kalinya diadakan pada waktu puncak itu bertujuan memberi kesedaran dan didikan kepada pengguna jalan raya supaya memartabatkan peraturan.

“Jika kita lihat di kiri dan kanan, terserlah bangunan yang tersergam indah dengan pembangunan infrastruktur berada di tahap kelas pertama.

“Bagaimanapun, pemanduan pengguna jalan raya masih berada di tahap rendah. Kita ambil contoh, ada pemandu kereta yang kita lihat tadi menekan hon supaya kenderaan di hadapannya tidak berhenti meskipun lampu merah menyala dengan alasan sebelum ini ‘boleh’ buat sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di Bukit Bintang, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily memaklumkan, operasi yang memberi fokus kepada kesalahan utama itu turut dijalankan di Desa Aman dan Desa Tasik yang merupakan kawasan penempatan pegawai serta anggota polis.

“Kita tidak mahu sekadar membimbing orang ramai tetapi juga mendidik pegawai dan anggota kita supaya mereka juga mematuhi undang-undang.

“Apabila kita menjalankan operasi ini, ada pengguna jalan raya yang kita kesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, berhenti di petak kuning dan lain-lain dengan alasan tidak mengetahui ada operasi dijalankan,” ujarnya.

Selain itu, Mohd. Shuhaily berkata, pasukannya turut memberi fokus terhadap penunggang motosikal warga asing di sekitar ibu negara.

“Pada masa sama, kita juga menumpukan kepada penunggang motosikal warga asing tidak mempunyai lesen (memandu) yang sudah semestinya tidak mempunyai insurans.

“Dalam kes sebegini, kita akan mengenal pasti pemilik motosikal warga asing berkenaan yang menjadi tanda tanya bagaimana mereka boleh sewenangnya menunggang motosikal tanpa lesen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI