fbpx

Tumbang lembu, kerbau dalam banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibadah korban di Surau Kampung Nelayan, Teluk Kumbar diteruskan meskipun dalam keadaan banjir pagi semalam.

GEORGE TOWN – Penduduk di beberapa kampung di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang, di sini terpaksa meneruskan ibadah korban dalam suasana banjir apabila kawasan perkampungan mereka dinaiki air pagi semalam.

Antara lokasi terlibat adalah Kampung Nelayan, Kampung Paya dan Kampung Sulup di Te­luk Kumbar serta Teluk Bahang selain beberapa kawasan di pusat bandar.

Banjir berlaku selepas hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam sejak malam kelmarin.

Difahamkan, ini merupakan kejadian pertama kali berlaku pada tahun ini selepas pembinaan Rumah Pam Projek Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar siap dua tahun lalu.

Pengerusi Surau Kampung Nelayan, Salim Omar berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku ketika penganjuran majlis ibadah korban di kampungnya disifatkan sebagai sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau merangkap ketua kampung berkenaan memberitahu, ibadah korban terpaksa dite­ruskan dalam suasana hujan dan banjir yang berlaku selama lebih empat jam sejak pukul 6 pagi semalam.

“Kami terpaksa meneruskan program tersebut dan menumbangkan enam ekor lembu dan seekor kambing dengan melibatkan bantuan pemuda-pemuda serta kariah kampung.

“Hampir 1,000 penduduk ha­dir ke majlis itu meskipun ma­sing-masing terpaksa meredah banjir dan hujan. Suasana jadi meriah kerana lembu-lembu ditarik dan ditambat dalam banjir.

“Air mula surut sekitar pukul 10 pagi semalam (kelmarin) selepas hujan berhenti sejam kemudian,” katanya.

Di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang, hujan lebat sejak pukul 3.30 pagi semalam menyebabkan air sungai yang terletak bersebelahan Flat Indah melimpah, mengakibatkan banjir sehingga ke paras lutut.

Selain kawasan flat berke­naan, beberapa buah rumah di kawasan perumahan kampung nelayan di situ juga turut dinaiki air.

Seorang penduduk, Nur Syazwani Ariffin, 30, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira pukul 3.30 pagi apabila hujan turun dengan lebat dan air dari sungai mula melimpah ke parit.

“Pada waktu itu penduduk mula mengalihkan kereta dan motosikal masing-masing ke kawasan yang lebih tinggi.

“Saya yang tinggal di tingkat dua flat tersebut turut mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat yang tinggi, nasib baik saya sempat kerana air naik terlalu cepat,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, keadaan air sungai masih melimpah sekitar pukul 8 pagi semalam selain keadaan air laut pasang.

“Air mula surut kira-kira pukul 9 pagi dan surut sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian. Penduduk di tingkat bawah flat ini adalah yang paling terjejas kerana air naik terlalu pantas dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), beberapa tempat di sekitar kawasan Timur Laut telah mengalami kenaikan paras air kira-kira pukul 9 pagi semalam.

“Air bertakung di Jalan P. Ramlee, Jalan Langkawi (Kebun Lama), Taman Rampas (Sungai Pinang), Jalan Perak, Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium) kerana hujan berte­rusan sejak semalam (kelmarin),” katanya.

Selain itu, MBPP memaklumkan turut berlaku kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan antaranya di kawasan Jalan Loh Poh Heng, Paya Terubong serta laluan di sebelah Recsam menghala ke Jalan Tun Sardon.

“Tindakan segera sedang dijalankan dan laluan tersebut akan dibuka kepada kegunaan orang awam dalam masa terdekat setelah selesai dan selamat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI