fbpx

Mahkamah: Tamat kontrak mengejut di Finas, Md Nasir fail saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md Nasir.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim, memfailkan saman terhadap perbadanan itu berhubung pemberhentian secara mengejut dan tidak sah sebelum tamat kontrak.

Md. Nasir, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Srimurugan & Co. di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 28 Jun lalu, dengan menamakan Finas, Menteri Komunikasi dan Digital serta empat lagi individu lain masing-masing sebagai defendan pertama hingga keenam.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh plaintif memplidkan, defendan pertama (Finas) tidak mempunyai satu perbadanan yang sah kerana Perbadanan Finas (defendan pertama) hanya mempunyai 4 orang ahli.

Ia yang mana defendan pertama tidak boleh membuat sebarang keputusan atau bertindak sebagai satu Perbadanan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244), khususnya mengeluarkan surat bertarikh 31 Mei lalu untuk menamatkan perkhidmatan plaintif.

Kemudian katanya, pada atau sekitar pada 1 Jun lalu, defendan Kedua, selaku Menteri Komunikasi dan Digital, telah membuat satu sidang media dan menyatakan bahawa penamatan plaintif adalah keputusan lembaga Finas sendiri dan defendan Kedua tidak terlibat atau mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan Lembaga Finas.

Menurut plaintif, yang juga bapa kepada pelakon Anzalna itu, akibat pemberhentian secara salah itu telah menyebabkannya malu selain mengalami tekanan mental akibat daripada penamatan perkhidmatan secara salah.

Justeru plaintif mahu satu pengisytiharan bahawa surat penamatan perkhidnatannya pada 31 Mei lalu yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Finas adalah terbatal dan tidak sah di bawah undang-undang.

Selain itu plaintif juga menuntut sejumlah RM134,083.35 iaitu jumlah itu adalah kehilangan pendapatan dan ganti rugi dari 1 Jun 2023 sehingga 31 Oktober 2023 selain memohon relif-relif lain terhadap defendan-defendan secara bersama.

Terdahulu, plaintif turut menyatakan dia dibayar gaji pokok sebanyak RM20,000 sebulan dan layak menerima elaun dan imbuhan sebanyak RM6,816.

Perkhidmatannya pula tertakluk kepada Peraturan Tatatertib Perkhidmatan Awam dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Pada 1 Jun lalu, Md Nasir dalam satu sidang media tergemparnya, mendakwa ada pihak cuba menjatuhkan kredibilitinya sehingga ditamatkan perkhidmatan dalam notis 24 jam.

Md Nasir berkata, dia mengadakan sidang media tergempar bagi membersihkan namanya yang tercalar.

Pada tarikh sama, media turut melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata penamatan perkhidmatan Md Nasir sebagai CEO FINAS merupakan keputusan Lembaga Pengarah Finas.

Fahmi memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai langkah penstrukturan semula beberapa dasar dan rombakan penyelarasan bagi hala tuju masa depan Finas.

Finas dalam kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI