ADA ketikanya mudah, namun adakalanya sukar. Itu situasi dilalui setiap anak seni yang mahu mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.
Prosesnya panjang dan tidak seindah disangka. Semua menuntut usaha keras, bakat dan kadangkala, tuah menjadi penentu.
Susur sama dilalui pelakon tinggi lampai Jasper Supayah yang sentiasa berusaha mengembangkan bakatnya dalam pelbagai cabang seni.
Bermula sebagai penyanyi kemudian berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan, dia kini mencuba nasib dalam arena lakonan.
Sungguh semua itu satu perjalanan yang selayaknya dipuji.
Namun hakikat hidup ibarat berada di bawah ‘mikroskop’ manusia, Jasper mengakui, sentiasa dihantui isu perkauman tidak berkesudahan yang menjejaskan kelancaran kariernya.
Dianaktirikan
Pernah satu ketika, pelakon berdarah campuran India dan Cina itu digugurkan daripada sebuah projek, hanya disebabkan bukan berbangsa Melayu.
Malah terdapat orang industri yang memanggilnya dengan panggilan tidak sepatutnya atas alasan dia kacukan India.
“Sebelum ini, ada orang industri yang pada awalnya mahu ambik saya berlakon, bila semua sudah confirm, pada saat akhir mereka terpaksa gugurkan nama saya hanya sebab nama saya ada ‘anak perempuan’.
“Dengar macam biasa, tetapi terlukanya di hati, hanya saya yang tahu.

“Itu tidak termasuk orang industri yang memanggil dengan panggilan menghina, tak tahu apa motifnya panggil saya dengan panggilan sedemikian,” katanya.
Justeru, Jasper kini mengambil langkah untuk sentiasa berhati-hati agar tidak terlalu bercerita dan rapat dengan orang dalam industri.
“Pengalaman mematangkan saya, jadi saya banyak mengambil langkah untuk berhati-hati dengan semua orang, tidak semua orang boleh dipercayai.
“Jujurnya, industri kita sebenarnya sangat fake, depan kita bagaikan syurga, belakang kita macam neraka,” luah Jasper.
Terapi diri
Ditikam kecaman bersimbah kata nista, jiwa mana yang tidak meronta, hati mana tidak terluka, begitu jua Jasper.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkapnya Jasper James Supayah itu mengambil pendekatan berdamai dengan diri. Caranya, dia menenangkan diri dengan bercakap di hadapan cermin sebagai motivasi.
“Ada masa saya sangat ‘koyak’, sampai satu saat saya terpaksa menenangkan diri saya dengan berdiri depan cermin dan memberikan kata-kata motivasi kepada diri sendiri.
“Kadang, bila kita rasa terlalu sunyi dan terlalu sakit, kita kena cakap dengan diri kita sendiri, kalau bukan kita yang cakap benda baik-baik untuk diri sendiri, siapa lagi?.
“Pada saya, tiada orang lagi kuat daripada diri sendiri yang boleh beritahu apa yang kita mahu dengar.
Kaedah self motivation yang saya selalu guna itu benar-benar menjadi buat saya,” luahnya sayu.
Kuat demi minat
Disoal daripada mana datang kekuatan untuk terus teguh berdiri sebagai anak seni dalam industri meskipun diuji sebegitu, Jasper memberitahu, dunia lakonan menjadi ruang untuk lari sejenak daripada realiti kehidupan.
“Ini juga minat saya, setiap kali saya masuk set penggambaran, saya rasa benda itu memberi saya makna, satu rasa yang sukar digambarkan.
“Malah, melalui lakonan, saya boleh lari sekejap dari menjadi diri sendiri yang selalu dihina dan ditikam belakang oleh orang yang dipercayai.
“Lakonan juga buat hilangkan seketika rasa sedih saya.” jelasnya.
Kata Jasper, ingatan pada tuhan selain nasihat seiring sokongan beberapa individu dalam industri juga menjadi pembakar semangat untuk terus bangkit daripada dihenyak rasa duka dek kata-kata manusia.
“Ada masa saya tidak keluar rumah sampai seminggu kerana memerlukan ruang bertenang.
“Syukur saya boleh kawal diri” kongsinya.
Enggan terus larut dalam topik tekanan dan perkauman, penulis sempat bertanyakan status hati pelakon berusia 30 tahun itu.
Takut kahwin
Seperti wanita lain, aktres kelahiran Johor Bahru itu juga ingin mendakap bahagia.
Dia kini dalam fasa berkenalan dengan seorang jejaka, namun belum mempunyai perancangan untuk ke arah perkahwinan.

“Sekarang dalam proses mengenali hati budi, tapi apa yang pasti, saya masih belum bersedia untuk berkahwin.
Bagi saya kahwin adalah tanggungjawab yang besar.
“Sekarang kes orang cerai lagi tinggi daripada orang nikah dan itu sangat menakutkan saya untuk kahwin,” jelasnya.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada dua bersaudara itu berpendapat kesefahaman dan keserasian antara satu sama lain amat penting sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Kita tak tahu perangai orang itu sampai kita kahwin dengan dia. Adakah kita serasi? adakah boleh saling memahami?
“Semua itu penting untuk menjamin kesejahteraan dalam perkahwinan.
“Tambahan pula, cara kerja anak seni sangat berbeza, susah untuk seseorang lelaki itu faham melainkan dia datang dari industri yang sama,” katanya seraya menutup bicara.
















