fbpx

Malaysia peroleh kemenangan penting kes pewaris Sulu di The Hague- PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA- Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague apabila menolak untuk mengiktiraf Final Award dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh ‘Pihak yang Menuntut’ untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.

“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague merupakan satu lagi kemenangan penting kepada kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kita semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut dengan jumlah hampir USD15 bilion.

“Ia dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague hari ini bersama-sama keputusan Mahkamah Rayuan Paris akan menamatkan usaha sia-sia Pihak Yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara lain.

“Sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kes Sulu membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani,” jelasnya.

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman selain Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Ucapan terima kasih itu turut diucapkan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan semua terlibat dalam usaha berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI