TERLALU banyak dugaan ditempuhi pasangan sensasi, Shuib dan suri pilihan hati, Watie, namun cinta mereka terus ampuh hingga akhirnya melangkah ke alam perkahwinan sebagai suami isteri yang sah Jumaat lalu.
Mengambil keberkatan Jumaat penghulu segala hari, pelawak dan penyampai radio popular itu bersyukur dan lega apabila majlis pernikahan mereka di Glass House Putera Heights USJ baru-baru ini berlangsung dengan lancar.
“Saya bersyukur sangat pernikahan kami dihadiri ramai saudara-mara serta kenalan terdekat. Dalam masa sama lega apabila perancangan beberapa bulan ini berjalan sempurna.
“Sebenarnya kami hanya rancang majlis sederhana saja, tetapi dalam perjalanan memasuki fasa ini banyak rezeki masuk di saat akhir. Alhamdulillah.
“Itu yang ada banyak kejutan macam pertunjukan bunga api. Kiranya segmen tersebut bertepatan acara, jadi pengurusan saya terima dan kolaborasi sama boleh diteruskan untuk akan datang,” katanya usai diijabkabul.
Selain pertunjukan bunga api, akad nikah dan resepsi mempelai turut dimeriahkan persembahan Anuar Zain, Lah Ahmad dan kemunculan mengejut Dayang Nurfaizah yang membawakan tiga buah lagu.

Berlatih lafaz nikah
Bercakap tentang majlis nikahnya, Shuib mengakui nama penuh isterinya iaitu Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah, 35, antara perkara yang menambah debarnya biarpun sudah pernah berkahwin.
Enggan tersasul Shuib sanggup berlatih sebelum akad nikah.
“Nama Watie agak panjang untuk sebut senafas dan ejaan nama ayah Watie juga agak ‘tricky’ kerana berbunyi Hanifiah, takut tersilap sebut.
“Jadi saya berlatih dahulu supaya tak tersasul. Alhamdulillah, rasa ringan sebaik kami disatukan,” luah pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu mengenai pernikahan kali keduanya.
Pada majlis berkenaan, Shuib sah bergelar suami Watie dengan satu lafaz disaksikan sekitar 600 jemputan.
Shuib menyerahkan mas kahwin berjumlah RM8,288 yang dikatakan bersempena tarikh ulang tahun kelahiran wanita pilihan hatinya iaitu pada 8 Februari 1988.
Rombongan membawa bersama lima dulang hantaran, berbalas tujuh, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Istimewanya, sebelum ijabkabul kedua-dua mempelai diiringi ibu masing-masing menuju ke pelamin.
Malah, dua figura penting dalam hidup Shuib, bapanya sendiri, Muhamad Arshad dan bapa mentua, Raisuddin Hamzah turut berada di sisi pada hari bahagianya.

Langkawi, Turkiye
Selepas akad nikah, Shuib yang kini sedang berada di Langkawi menikmati berbulan madu bersama Watie turut merancang percutian ke Turkiye bersama anak-anak.
“Saya dan Watie memperuntukkan waktu berdua sebelum kami ke Turkiye pula membawa anak-anak pada Ogos depan.
“Percutian ke luar negara itu lebih kepada menghabiskan masa bersama keluarga memandangkan sebelum ini kami sibuk menguruskan hal perkahwinan dan bisnes,” tambahnya.
Ditanya perancangan menambah ahli keluarga, Shuib dan isteri sepakat bagi memberikan perhatian terhadap anak-anak terlebih dahulu.
Seperti dizahirkan usahawan tersebut, Watie juga sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi suri rumah buat masa ini.
“Anak mungkin belum lagi. Tunggu masanya sebab anak-anak perlukan perhatian kami,”
“Saya ambil keputusan menjaga anak-anak yang ada dahulu.
“Saya tidak kisah bergelar suri rumah seperti permintaan suami. Dari awal lagi, Shuib cakap mahu saya menjadi suri rumah sepenuh masa,” ujar wanita yang mudah mesra itu.

Rumah untuk ibu
Mengulas mengenai desas-desus Shuib memberikan hadiah banglo kepada isterinya, katanya semua itu mungkin salah faham orang ramai.
Menurut anak seni asal Johor Bahru itu, pemberian dimaksudkan adalah untuk ibunya, Salamiah Jalani sebagai tanda kasih sayang mereka.
“Sebenarnya rumah yang dalam pembinaan sekarang adalah untuk ibu saya yang sudah lama dirancang.
“Berkemungkinan kediaman baharu itu dapat didiami tahun depan. Buat masa ini belum disempurnakan sepenuhnya lagi,” katanya yang mengikat pertunangan dengan Watie pada 6 Mei lalu.
Perkahwinan tersebut adalah kali kedua buat Shuib selepas pemergian arwah isterinya, iaitu penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup dengan Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.















