PETALING JAYA – Pasaran kerja yang luas selain tawaran gaji lumayan menjadi antara faktor yang mendorong segelintir pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih bidang kemahiran sebagai kerjaya berbanding profesion lain.
Rata-rata daripada pelajar berkenaan yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A turut mengakui, bidang kemahiran seperti kimpalan, elektrik dan elektronik lebih menjanjikan kerjaya masa depan berbanding bidang lain yang hanya bersandarkan kepada populariti, trend dan ikutan semata-mata.
Calon SPM 2022, Mohd. Azammuddin Bakri, 18, yang memperoleh keputusan 7A dan 2B baru-baru ini berkata, dia lebih berminat untuk melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang kimpalan walaupun peluangnya ke peringkat diploma di universiti tempatan terbuka luas.
Katanya, kesungguhan untuk mempelajari ilmu kimpalan secara profesional itu adalah bersandarkan kepada tangga gaji yang ditawarkan yang mampu mencecah RM10,000 sebulan.
“Daripada saya jadi doktor, mungkin lebih baik yang fokus untuk jadi pakar kimpalan. Zaman sekarang, bidang kemahiran lebih tinggi bayarannya berbanding bidang profesional lain,” katanya baru-baru ini.
Mohd. Azammuddin berkata, memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga sudah memadai untuk dia menarik minat para majikan yang memerlukan ramai tenaga mahir.
“Mungkin kerjaya seperti jurukimpal dan juruelektrik tidak popular seperti profesion lain, tetapi yang penting adalah peluang kerjaya selepas habis belajar.
“Ramai yang telah buktikan dan ada yang berjaya mengembangkan kerjaya dengan membuka syarikat sendiri,” tambah Azammuddin.
Seorang lagi calon SPM, Mustaqim, 18, yang memperoleh keputusan 6A 2B pula berkata, dia memilih bidang automotif sebagai kerjaya masa depan berdasarkan nilai pasaran bidang berkenaan.
Sebagai permulaan katanya, dia bercadang untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).
“Saya sebenarnya ingin memasuki Kolej Vokasional dalam jurusan automatif ketika berada di tingkatan empat, tetapi ketika itu saya perlu menjaga ibu yang kurang sihat.
“Namun, keinginan untuk memiliki bengkel sendiri tidak pernah padam dan sebab itu saya mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ini.
“Saya berharap saya akan dapat lebih banyak peluang untuk berada dalam kelompok pakar automotif di negara ini suatu hari nanti,” katanya.
Menurut Mustaqim, cinta-citanya untuk menjadi pemilik bengkel bukanlah bersandarkan kepada keuntungan semata-mata, tetapi mahu menyediakan ruang pekerjaan kepada orang lain.
“Saya suka jadi seseorang yang boleh bantu orang lain. Maknanya, saya belajar ilmu automotif ini, saya boleh buka bengkel. Selepas itu, saya boleh tawar kerja pada orang lain,” kongsinya.
Seorang lagi lepasan SPM, Nor Asyura Halimi, 18, yang meraih keputusan 6A 1B 1C berkata, dia merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Seni Kulinari selepas ini.
Bagi anak kelima daripada enam beradik itu, dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi cef terkenal dan menyimpan impian memasuki Institut Pendidikan Kulinari (ICE) New York suatu hari nanti.
“Impian saya mahu jadi cef pastri dan kalau ikut pembacaan, cef pastri ramai lelaki. Sebab itu saya mahu cabar diri untuk berada setanding mereka.
“Ibu bapa saya juga tidak halang sebab mereka memang tahu di rumah minat saya lebih kepada masakan berbanding bidang lain. Apa salahnya untuk saya fokus minat yang ada untuk dijadikan kerjaya masa depan,” jelasnya.
Tambahnya, dia juga telah mengemas kini permohonan bidang pengajian di dalam sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) dan memilih Diploma Seni Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pilihan utama. -KOSMO! ONLINE














