fbpx

Murid aktif, tak pandai baca diminta berhenti selepas sehari masuk tadika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Ramai ibu bapa meluahkan rasa kecewa apabila anak mereka berusia lima hingga enam tahun tidak dibenarkan ke tadika seperti kanak-kanak yang lain disebabkan berpewatakan aktif dan tidak pandai membaca.

Menurut seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Hidayah berkata, dia agak terkilan apabila anak sulungnya diminta untuk berhenti selepas sehari kanak-kanak itu mengikuti sesi persekolahan di sebuah tadika di Kuantan.

Katanya, alasan diberikan pihak tadika adalah anaknya seorang yang aktif dan sukar untuk berada di tempat duduknya seperti kanak-kanak lain.

“Cikgu tadika kata mereka takut anak saya akan ganggu proses pembelajaran di kelas. Baru sehari budak ini masuk sekolah, cikgu dah buat rumusan macam itu selepas saya ada maklumkan anak saya jenis aktif.

“Bagi saya anak saya hanya aktif, biasalah kanak-kanak. Bukan jenis kacau orang lain. Tapi saya sendiri dah jumpa pakar dan pakar yang minta anak saya dihantar ke sekolah biasa kerana kecerdasan otaknya sama macam kanak-kanak normal lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di platform media sosial mendapati, terdapat juga pengguna lain meluahkan kekecewaan apabila tidak pandai membaca menjadi alasan untuk pihak sekolah menolak permohonan anak mereka ke tadika.

Menerusi perkongsian seorang wanita di Facebook baru-baru ini, dia merancang untuk menghantar anaknya berusia enam tahun ke sebuah tadika namun soalan pertama yang ditanya oleh guru di sana adalah soal kemahiran membaca kanak-kanak tersebut.

Dakwa wanita itu, mana-mana kanak-kanak yang tidak pandai membaca atau mengira, mereka akan dihalang untuk berada di sekolah tersebut.

“Tidak saya sangka, ini soalan guru besar di situ kepasa saya, anak puan dah boleh membaca, mingira? Kalau belum kami tidak boleh ambil.

“Ya Allah, ini tempat belajar untuk kanak-kanak kan? Di sini bukan sepatutnya mereka belajar perkara asas seperti kenal huruf dan nombor. Adakah sekarang ini dah kena pandai baca novel baru boleh diterima (masuk tadika)?,” soalnya.

Dalam pada itu, perkongsian wanita tersebut ternyata mendapat perhatian ramai dan mereka terkejut apabila guru zaman sekarang dilihat seolah-olah hanya mahukan pelajar sedia pandai untuk dijadikan anak murid.

“Kalau budak itu masuk kelas dah pandai baca, mengira, kerja cikgu tadika mudah. Tak perlu susah-susah ajar anak murid. Semua boleh buat sendiri. Ini bukan namanya guru, ini namanya pengasuh sahaja kalau tak mahu ambil tanggungjawab ajar anak-anak murid dari tak kenal huruf kepada boleh mengaji al-Quran,” perli Alyssa.

“Anak kakak saya pun cikgu minta dia berhenti tadika. Sebab budak tu jenis ada masalah gagap. Tak sangka nak msuk tadika pun hanya murid terpilih sahaja. Cikgu siap minta kakak saya ajar sendiri anak dia dulu, dan lancar baru hantar sekolah.

“Kalau macam itu, baik kakak saya sahaja jadi cikgu, yang cikgu tu boleh berhenti kalau malas nak ajar murid membaca dan bertutur dengan baik. Pelik-pelik guru zaman sekarang,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI