fbpx

Ketua Wagner setuju tinggalkan Russia, tamatkan pemberontakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota-anggota Wagner bersedia meninggalkan ibu pejabat Daerah Tentera Selatan di Rostov-on-Don lewat kelmarin. - AFP

MOSCOW – Ketua tentera upahan Russia digelar Wagner, Yevgeny Prigozhin bersetuju meninggalkan negara itu dan berundur ke Belarus, kata Moscow semalam, dalam satu perjanjian yang ditaja oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.

Stesen penyiaran CNN melaporkan, langkah itu sekali gus menamatkan pemberontakan bersenjata oleh kumpulan tersebut yang telah mencetuskan ancaman paling serius terhadap kepimpinan Presiden Russia, Vladimir Putin dalam tempoh beberapa dekad.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam satu sidang akhbar berkata, satu perjanjian telah dicapai dengan Prigozhin.

“Anda pasti akan bertanya kepada saya apa yang akan berlaku kepada Prigozhin? Dakwaan jenayah tidak akan dikenakan terhadapnya. Dia sendiri akan berundur ke Belarus,” kata Peskov sambil menambah, pihaknya kini tidak mengetahui kedudukan semasa ketua tentera upahan itu.

Tambah Peskov, anggota Wagner juga tidak akan dikenakan tindakan undang-undang kerana berarak ke Moscow sebelum itu selain anggotanya akan menandatangani perjanjian bersama Kementerian Pertahanan Russia.

Pengumuman tersebut meredakan krisis yang bermula apabila Wagner menguasai markas utama tentera Kremlin di bandar selatan Russia, Rostov-on-Don, ketika beberapa anggota tenteranya mara ke arah ibu negara atas arahan Prigozhin.

Sebelum ini, Prigozhin secara terbuka mengkritik kepimpinan tentera Russia dan pengendalian Moscow terhadap perang di Ukraine, namun dia ‘melangkaui garisan merah’ dengan Putin pada hujung minggu lepas.

Putin yang kelihatan muram ketika berucap kepada seluruh rakyat Russia kelmarin menggelar tindakan Wagner sebagai satu bentuk tikaman dari belakang terhadap negara dan rakyatnya.

Beliau turut menyifatkan peristiwa berkenaan sebagai pemberontakan dan berikrar untuk mengalahkan kumpulan separa tentera itu dan dalam masa sama, Moscow meningkatkan langkah-langkah keselamatannya.

Bagaimanapun, menjelang awal semalam, pendirian Prigozhin berubah dan dia berkata, anggota tenteranya yang berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow telah menghentikan kemaraan mereka untuk mengelakkan pertumpahan darah.

Agensi berita AFP melaporkan, anggota Wagner berundur selain peralatan mereka di Rostov-on-Don turut dibawa keluar dari markas tentera Kremlin. 

Satu rakaman video yang disahkan oleh CNN menunjukkan anggota-anggota tentera Wagner berundur dari kedudukan mereka di ibu pejabat tentera Russia di Rostov-on-Don.

Dalam video itu, Prigozhin dilihat sedang duduk di tempat duduk belakang sebuah kenderaan ketika orang ramai bersorak, manakala kenderaan tersebut berhenti apabila seorang individu menghampirinya dan berjabat tangan dengannya.

Prigozhin sebelum ini menuduh Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dan jeneral tertinggi Russia, Valery Gerasimov tidak memberikan bekalan peluru kepada pasukannya serta mengkritik cara pengendalian mereka terhadap konflik itu, namun ia sentiasa mempertahankan alasan berperang dengan Ukraine.

Jumaat lalu, Prigozhin menuduh tentera Russia menyerang kem tentera Wagner dan membunuh sebilangan besar anggotanya tetapi Kementerian Pertahanan negara itu menafikan perkara tersebut dan menggelarnya sebagai provokasi maklumat.

Peristiwa tersebut ternyata menjadi satu hari yang dramatik buat Russia, dengan Putin mengeluarkan amaran mengenai perang saudara ketika penduduk Moscow diarah menjauhi jalan-jalan utama, selain Ukraine dalam masa sama bergembira atas keadaan huru-hara yang dialami seterunya itu. – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI