fbpx

Kapal USS Ronald Reagan milik tentera AS tiba di Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal USS Ronald Reagan berlabuh di pelabuhan Danang semalam. - AFP

HANOI, VIETNAM – Sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS), USS Ronald Reagan tiba di Danang, Vietnam, semalam, beberapa minggu selepas Hanoi memprotes aktiviti kapal China yang belayar di perairannya.

Ketibaan kapal itu berlaku ketika Washington dan Hanoi meraikan ulang tahun ke-10 bagi kerjasama komprehensifnya, dengan kedua-dua negara berkongsi perdagangan rapat serta kebimbangan mengenai kemaraan Beijing di rantau tersebut.

Sebuah kapal peninjau China, beberapa kapal pengawal pantai serta bot nelayan dilaporkan berada di zon ekonomi eksklusif Vietnam selama beberapa minggu di Laut China Selatan.

China menuntut sebahagian besar laluan air di rantau tersebut meskipun mendapat tentangan dari negara-negara Asia Tenggara lain termasuk Vietnam, Filipina dan Malaysia.

“Lawatan ini memberi mesej bahawa Vietnam terus membantah aktiviti China dengan mengukuhkan hubungan keselamatannya dengan AS serta kuasa-kuasa luar lain.

“Dalam masa sama, hubungan dua hala yang kukuh antara AS dan Vietnam adalah ‘kunci’ bagi Washington jika ia mahu kekal sebagai kuasa dominan di rantau ini,” kata calon doktor falsafah keselamatan maritim di Universiti New South Wales, Nguyen The Phuong kepada AFP.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Vietnam, Pham Thu Hang awal minggu lalu berkata, ketibaan kapal AS di pelabuhan Vietnam merupakan isyarat kepada pertukaran persahabatan biasa untuk keamanan, kestabilan, kerjasama dan pembangunan serantau serta dunia.

“AS berharap dengan menghantar satu daripada aset ketenteraan laut utamanya itu, ia akan memiliki rakan kerjasama yang dipercayai di Vietnam,” ujarnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI