fbpx

140 sijil kesihatan eksport durian dikeluarkan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR AZIMI (lima dari kanan) menunjukkan buah durian yang sedia dieksport ketika melakukan pemantauan di sebuah premis pemprosesan durian di Raub hari ini.

RAUB – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melakukan pemantauan ketat dan berterusan terhadap durian yang dieksport apabila menetapkan keperluan sijil kesihatan setiap kali eksport dilakukan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 140 sijil kesihatan dikeluarkan bagi pengeksportan durian sejuk beku ke luar negara.

“Bagi tahun 2022 sebanyak 131 sijil kesihatan telah dikeluarkan oleh pejabat kesihatan daerah bagi pengeksportan durian sejuk beku ke Negara China, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Taiwan, Kanada, Indonesia, Australia, Hong Kong, Peru dan New Zealand.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sentiasa menjalankan pemantauan ke atas premis pemprosesan makanan supaya mematuhi keperluan negara pengimport dan perundangan dalam negara,”katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah premis pemprosesan durian sejuk beku di sini.

Menurut Nor Azimi terdapat 22 premis pemprosesan durian sejuk beku di Pahang melibatkan daerah Raub sebanyak 18 premis, Jerantut dua premis dan masing-masing satu premis di Bentong.

Katanya, kesemua premis pemprosesan ini mempunyai pensijilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Standard Malaysia untuk Titik Kawalan Kritikal Analisis Berbahaya (HACCP), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Antara produk yang dihasilkan adalah produk durian sejuk beku yang terdiri daripada durian ‘pulp’, durian paste dan durian ‘whole fruit’.

“Penghasilan produk durian sejuk beku ini memerlukan proses penyejukan sehingga suhu -30 darjah selsius bagi produk durian ‘pulp’ dan durian ‘paste’ manakala suhu antara -80 darjah selsius hingga -110 darjah selsius bagi produk durian ‘whole fruit; bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk yang dihasilkan.”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) berperanan menjalankan pemantauan ke atas premis pengeksportan melalui audit yang dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun dan menjalankan pensampelan produk bagi parameter mikrobiologi dan kimia untuk memastikan keperluan negara pengimport dipatuhi.

Justeru katanya, semua premis pengeksportan perlu memastikan kawalan proses, kawalan operasi, kawalan infrastuktur, kawalan sanitasi dan penyelenggaraan premis mematuhi standard yang ditetapkan di bawah pensijilan HACCP, GMP atau MeSTI dan keperluan negara pengimport.

“Di samping itu premis juga perlu mematuhi keperluan perundangan negara di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI