fbpx

‘Mereka merayu mahu makan aiskrim, saya hilang tiga anak sekali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK MOHD. HISYAM (duduk, kanan) dan isteri tidak dapat menahan sebak menunggu di Unit Forensik Hospital Pekan semalam.

PEKAN – Rayuan Nik Nur Faqihah Nik Mohd Hisyam, 11, untuk dibelikan aiskrim buat kali terakhir menjadi petanda sebelum dia bersama abang dan adiknya maut dalam kemala­ngan di Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini kelmarin.

Nik Nur Faqihah bersama abangnya, Nik Ikram Idwan, 15, dan adiknya, Nik Ikram Nuqman, 5, dikatakan dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Lamir membeli aiskrim sebelum motosikal Modenas Kriss dinaiki ketiga-tiga mereka berlanggar dengan sebuah ken­deraan pelbagai guna (MPV).

Akibat kejadian itu, tiga beradik berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Langgar.

Lebih menyedihkan Nik Ikram Idwan juga teringin makan ayam goreng dan ketika tiga beradik itu keluar membeli aiskrim, ibunya, Nur Baizura Mustaffa, 34, sedang menyediakan lauk tersebut.

Difahamkan dan tular di media sosial Nik Nur Faqihah pula sehari sebelum kejadian berjaya memenangi tempat pertama dalam acara merentas desa di sekolahnya.

NIK NUR FAQIHAH (empat dari kiri) mendapat tempat pertama dalam acara merentas desa di sekolahnya sehari sebelum kejadian di Pekan.

Bapa mangsa, Nik Mohd. Hisyam Derahman, 41, berkata, sebelum kejadian, dia dimaklumkan oleh isteri bahawa tiga anaknya itu ada meminta izin untuk diberikan wang bagi membeli aiskrim.

“Dia (Faqihah) bersama adiknya, Nuqman, merayu kepada isteri saya, katanya ini kali terakhir dia makan aiskrim dan mereka pun pergi beli dibawa oleh abangnya, Idwan, sebelum terlibat kemalangan.

“Abangnya memang selalu akan bawa dua adiknya berjalan. Bila adik hendak ke kedai, memang abangnya itu yang akan jadi tukang bawa,” katanya yang dtemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini semalam.

Nik Mohd. Hisyam berkata, dia diberitahu tentang kejadian oleh isterinya ketika sedang bekerja di Kuantan.

“Isteri saya hantar gambar dan saya bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, saya lihat ketiga-tiga anak saya sudah terbaring di atas jalan,” katanya.

Kata Nik Mohd Hisyam, isteri­nya yang menunggu tiga beradik berkenaan balik makan di rumah kemudian dibawa orang kampung ke lokasi kejadian dan diminta bertenang tanpa memaklumkan terlebih dahulu kejadian menimpa tiga anaknya.

“Idwan tidak sempat bersekolah di sini lagi kerana kami baru pindah, kelengkapan sekolah semua kami sudah sedia,” jelasnya.

Jenazah tiga beradik terbabit dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, di sini semalam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI