AMPANG – Penduduk yang menetap di sekitar Keramat di sini, menafikan kemalangan maut di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) merupakan jalan pintas.
Rata-rata penduduk mengatakan jalan tersebut bukan jalan pintas untuk ke sesuatu destinasi kerana laluannya yang bahaya serta panjang.
Penghantar makanan, Rafiq Hafizi, 21 tahun berkata, laluan yang berlaku kemalangan itu bukan jalan pintas yang sering digunakan orang ramai mahupun buat penghantar makanan.
Dia yang merupakan penduduk di kawasan Keramat berkata, pengalaman melalui jalan itu meyakinkan dirinya jalan itu tidak selamat untuk melawan arus.
“Kereta di situ memang laju hinggakan kadang-kadang kita bawa motosikal kena pandu dengan lebih berhati-hati kerana selekoh dan kenderaan laju.
“Sebagai rider, saya tahu untuk lawan arus di laluan itu sangat tidak masuk akal kalau alasannya jalan pintas sebab laluannya panjang dan bahaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, semalam.
Baru-baru ini, seorang lelaki yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Mengulas lanjut, Rafiq berkata, simpang yang berlaku kemalangan itu adalah susur keluar Ulu Klang dan kemungkinan besar situasi lawan arus itu berlaku disebabkan tersalah keluar simpang ketika di lebuh raya.
“Tengok dari gaya dalam video, mungkin penunggang tu tersesat sebab tersalah susur keluar, jadi jalan pintas untuk dia adalah melawan arus cepat ke kawasan Cheras dan sekitarnya,” katanya.
Helmi Rahmat, 57, berkata, dianggarkan seminggu akan ada dua kemalangan di kawasan itu iaitu simpang masuk ke Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2), kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian.
Sebagai orang yang menetap lama di kawasan Ampang, Helmi menegaskan kemalangan disebabkan lawan arus ini berpunca daripada sesat dan jalan pintas.
“Orang berani buat macam ini sebab dia selalu pandu begitu (lawan arus), sekali dah kemalangan dan susahkan orang lain,” ujarnya.














