fbpx

Mahkamah: Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim untuk mencabar kemenangan Datuk Mohd. Radzi Jidin bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Dengan keputusan itu, Mohd. Radzi kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut. Mahkamah turut berpuas hati tiada merit dalam rayuan tersebut dan menetapkan kos RM30,000.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli ketika mengumumkan keputusan rayuan bagi Parlimen Putrajaya berpuas hati, petisyen Ahmad Faisal tidak mengandungi butiran mencukupi yang mewajarkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun berhujah bagi pihak perayu manakala peguam-peguam Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd. Faizi Che Abu mewakili responden.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen pilihan raya Ahmad Faisal selaku pempetisyen selepas membenarkan bantahan awal Mohd. Radzi selaku responden.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas berpuas hati petisyen itu cacat dan tidak mengandungi fakta dan butiran lengkap.

Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Mohd. Radzi, 46, atas dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, tiga panel hakim itu juga membenarkan Barisan Nasional (BN) mencabar kemenangan calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim bagi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sehubungan itu, petisyen pilihan raya bagi kerusi parlimen itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya didengar dan diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan seorang pengundi, Mohd. Azmi Mahmood yang memfailkan petisyen pilihan raya mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan manakala prosiding disebut secara dalam talian di Kota Bharu pada 26 Jun ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI